Anda di sini

Pemuliharaan hidupan marin keutamaan penting diusahakan SFC

Advertisement

BINTULU: Pemuliharaan hidupan marin merupakan keutamaan penting yang diusahakan oleh Sarawak Forestry Corporation Sdn Bhd (SFC) khasnya untuk memelihara spesies marin terancam seperti penyu, dugong, ikan lumba-lumba dan sebagainya.

Ketua Pegawai Eksekutif SFC Zolkipli Mohamad Aton berkata, pada tahun ini SFC telah menghantar 600 tukun tiruan di perairan Paloh-Belawai dan tambahan 600 tukun tiruan lagi di terumbu karang Batu Blais dan Seafan D di Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti.

Selain itu katanya, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg turut mengumumkan Beting Luconia diwartakan sebagai Taman Negara Hidupan Marin di Sarawak dan merupakan taman terbesar dalam negara ini.

Justeru katanya, Projek Pemuliharaan, Alam Sekitar dan Biodiversiti (BEACON) yang dilancarkan pada 2013 kini menjadi kerjasama pemuliharaan yang siginifikan  antara Sarawak Forestry dan MLNG Group of Companies.

“Projek ini dibahagi kepada dua komponen iaitu Projek Terumbu Karang MLNG yang perlu dipulihara, dilindungi, ditumbuh pulih semula dan dikembang biak biodiversiti hidupan marinnya khusus dalam penggunaan tukun tiruan sebagai terumbu karang di Taman Negara Similajau.

“Dan ia termasuk Pemuliharaan, Pendidikan, Promosi dan Kesedaran (CEPA) untuk Penerokaan Hidupan Marin Terancam, Pemuliharaan dan Pengurusan Aktiviti,” ujarnya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Pengurus Besar SFC Oswald Braken Tiesen pada majlis penutupan rasmi ‘BEACON Project: Friends of Nature’ anjuran MLNG dan SFC di Taman Negara Similajau semalam.

Zolkipli berkata, sebanyak 1,500 tukun tiruan telah dihantar ke perairan Taman Negara Similajau sejak 2013 sebagai struktur penguatkuasaan pasif yang membantu menghalang pukat tunda memasuki perairan taman, sekali gus menyediakan kawasan selamat untuk penyu.

“Saya ingin menyatakan rekodnya bahawa penyu telah kembali ke sarangnya di Taman Negara Similajau selepas tujuh tahun. Rekod sebelumnya yang dicatatkan penyu bersarang di taman negara itu ialah pada 28 Julai 2010.

“Kembalinya penyu ke taman ini adalah manifestasi kejayaan Projek BEACON. Kini kita boleh berbangga untuk mengatakan bahawa kita mempunyai sarang penyu dan penyu yang bertelur di sini,” katanya.

Di samping itu katanya, usaha itu turut memperlihatkan terumbu karang juga membesar daripada 10 hingga 12 sentimeter (cm) dalam dua tahun, 18 hingga 20 cm dalam tiga tahun dan 30 hingga 40 cm dalam 3.5 tahun.

Maklumat yang disediakan itu adalah dari kajian perairan dan sumber untuk marin termasuk pemantauan jangka panjang khususnya kajian hidupan marin lain, pemuliharaan dan pengurusan di Taman Negara Similajau, jelasnya.

“Terdapat dua taman negara di bahagian Bintulu iaitu Taman Negara Similajau dan Taman Negara Bukit Tiban. Similajau yang diwartakan sebagai taman negara pada 1976 menyediakan kawasan zon pemuliharaan untuk ciri geografik yang unik di perairan dan melindungi flora dan fauan di kawasan persekitarannya.

“Taman ini meliputi kawasan seluas 8,900 hektar dan mempunyai laluan treking utama pantai yang berdekatan sebagai tarikan signifikan bagi penyu berhijrah di laluannya dan kawasan penyu mendarat,” katanya sambil menambah lima spesies ikan lumba-lumba dan paus juga dapat dilihat berdekatan perairan tersebut.

Melalui usaha-usaha itu katanya, SFC berasa bangga menjadi hos kepada aktiviti-aktiviti BEACON termasuk pusat interpretasi sebagai tempat yang perlu dikunjungi di Taman Negara Similajau.

Advertisement