Anda di sini

Dalang edar dadah di Sepanggar terus diburu

Advertisement
AZIS (kanan) bersama Habibi (dua kiri) memeriksa beberapa individu yang dikumpulkan dalam operasi terbabit.
AZIS (kanan) bersama Habibi (dua kiri) memeriksa beberapa individu yang dikumpulkan dalam operasi terbabit.

KOTA KINABALU: Dalang aktiviti pengedaran dadah giat diburu bagi membanteras jenayah penyalahgunaan dadah khususnya di kawasan Sepanggar.

Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mohd Azis Jamman berkata, operasi menangkap penagih dan pengedar dadah di kawasan berkenaan akan sentiasa diteruskan.

Menurutnya, sebelum ini Sepanggar memang terkenal sebagai pusat pengedaran dan penagihan dadah.

Justeru, beliau mahu pastikan Sepanggar dapat dibersihkan dari gejala dadah walaupun tidak 100 peratus tetapi seboleh yang mungkin.

"Saya minta agar pihak berkuasa khususnya polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) supaya menjalankan operasi dengan koordinasi yang sebaiknya.

"Saya mahu 'kepala' iaitu pengedar dadah ini diburu dan ditangkap kerana merekalah 'big fish' yang menjadi dalang dalam kegiatan ini.

"Orang ramai yang mahu bekerjasama dan memberi maklumat tentang mereka akan diberikan ganjaran secara peribadi daripada saya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Operasi Sarang membabitkan empat kawasan kampung di Sepanggar dekat sini pada Ahad.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kawasan yang diserbu termasuklah Kampung Lokub, Kampung Lok Buno, Taman Bukit Setia, dan Taman Jaya Diri Sepanggar.

Katanya, operasi selama 15 jam itu mula dijalankan pada jam 3 petang Sabtu dan berakhir sekitar jam 6 pagi Ahad.

PEGAWAI yang terlibat memberi penerangan kepada Azis mengenai tangkapan dalam Ops Sarang.
PEGAWAI yang terlibat memberi penerangan kepada Azis mengenai tangkapan dalam Ops Sarang.

Menurutnya, seramai 31 orang melibatkan 28 lelaki dan tiga perempuan berjaya diberkas dalam operasi berkenaan.

"Ops Sarang kali ini berjaya merampas sebanyak 6.88 gram dadah jenis syabu dan kesemua tangkapan berumur dalam lingkungan 16 hingga 51 tahun.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39A (1), Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," jelasnya.

  • oleh
  • Advertisement