Anda di sini

Jururawat sedang dalam pantang cedera dipercayai terkena peluru sesat

Advertisement
 Nur Fatihah menunjukkan kecederaan yang dialami di kelopak mata hingga pangkal hidung akibat dipercayai terkena peluru sesat di rumahnya di Kampung Bukit Jambul di dekat Pendang, semalam. — Gambar Bernama
CEDERA: Nur Fatihah menunjukkan kecederaan yang dialami di kelopak mata hingga pangkal hidung akibat dipercayai terkena peluru sesat di rumahnya di Kampung Bukit Jambul di dekat Pendang, semalam. — Gambar Bernama

PENDANG: Seorang jururawat yang sedang dalam pantang nyaris maut selepas dipercayai terkena peluru sesat dari lapang sasar berdekatan rumahnya di Kampung Bukit Jambul di sini, kelmarin.

Nur Fatihah Azaini, 29, yang baharu 16 hari melahirkan anak perempuan berkata, dalam kejadian jam 1.30 petang itu, tiba-tiba sebutir peluru mengenai sipi pada bahagian kelopak mata hingga pangkal hidungnya sehingga menyebabkan kecederaan.

“Masa tu, saya sedang berehat dan menonton televisyen di samping anak bongsu Nurul Hana Aqilah berusia 15 hari (kelmarin) yang sedang tidur dan tiba-tiba bunyi kuat seperti ada benda jatuh dari bumbung rumah sebelum ia menembusi dan mengenai pangkal hidung dan kelopak mata hingga berdarah dan kesakitan.

“Ketika itu cukup cemas apabila darah keluar begitu banyak hingga terpaksa meminta pertolongan ibu untuk dibawa ke Klinik Kesihatan Pendang sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar sekitar jam 3.30 petang untuk rawatan lanjut. Mujur peluru itu tidak kena tepat di bahagian kepala atau anak bongsu yang tidur di sebelah,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya semalam.

Nur Fatihah, jururawat di Hospital Pulau Pinang berkata peluru itu dipercayai peluru sesat datang dari kawasan lapang sasar yang terletak kira-kira 500 meter di sebelah bukit di hadapan rumahnya kerana ketika itu berlangsungnya aktiviti latihan menembak pasukan kadet polis sejak pagi.

Sepanjang ditemu bual pemberita, Nur Fatihah sering menitiskan air mata mengenangkan jika perkara lebih buruk terjadi pada dirinya.

“Saya tak tahu nak buat apa sebab suami (Mohd Edy Ahmad Termizi, 30), berada di Taiping, Perak dan bekerja (waktu kejadian kelmarin), dan pada masa sama darah keluar begitu banyak kerana peluru mengenai salur darah di pangkal hidung dan masih dalam keadaan lemah kerana berpantang,” katanya.

Sehubungan itu, dia meminta polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian berkenaan dengan mengharapkan kejadian sedemikian tidak berulang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang DSP Arriz Sham Hamezah mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Beliau berkata semasa kejadian dipercayai pelajar sekolah yang menyertai kadet polis dari daerah Padang Terap sedang menjalani latihan menembak di lapang sasar berkenaan. — Bernama

Advertisement