Anda di sini

Jamery Siga belum buat keputusan meskipun melepasi sesi kelayakan

Advertisement
 Frederick (empat kiri) Jamery, Siga (empat kanan) bersama jawatankuasa PBL berada di Lapangan Terbang Limbang semalam.
PINGAT NEGARA: Frederick (empat kiri) Jamery, Siga (empat kanan) bersama jawatankuasa PBL berada di Lapangan Terbang Limbang semalam.

LIMBANG: Atlet negara, Jamery Siga, 33, masih belum membuat keputusan sama ada beraksi pada Kejohanan Renang Dunia Para Kuching 2019 meskipun melepasi sesi kelayakan selepas meraih  dua gangsa pada temasya Sukan Para Asia 2018 di Jakarta.

Jamery berkata, beliau belum memutuskan beraksi pada kejohanan besar itu di Kuching tahun depan kerana sudah terlalu lama berkecimpung dalam sukan para selaku wakil negara dari 2010 hingga sekarang.

“Saya belum membuat keputusan sama ada menyertai Kejohanan Renang Dunia Para Kuching 2019 kerana sudah terlalu lama sebagai atlet dalam sukan para,” katanya ketika ditemui media sebaik tiba di Lapangan Terbang Limbang semalam.

Turut sama Pengerusi Persatuan Lun Bawang (PLB) Limbang, Frederick Lalung dan ayahnya, Penghulu Sigar.

Di kolam renang Pusat Akuatik Gelora Bung Karno, Jamery  mengutip gangsa menerusi acara 200 meter (m)  S5 lelaki selepas mencatat 3:03.83s selain memperolehi gangsa pada acara 50m kuak kupu-kupu.

Jamery memberitahu temasya Sukan Para Asia 2018 di Jakarta berkemungkinan menjadi sukan terakhir untuknya selepas beliau mengidam impian menjadi jurulatih acara sama.

“Saya sudah menjadi atlet negara agak lama sejak 2010 hingga 2018, saya sangat berpuas hati dapat menyumbang pingat untuk keluarga, Limbang, Sarawak dan Malaysia,” katanya.

Tanpa sebarang kecederaan, beliau menjalani latihan ketat selama dua minggu di Filipina sebelum menyertai kejohanan di Jakarta.

Advertisement