Anda di sini

Banteras rokok haram: MPS temui tempat penyimpanan rokok seludup

Advertisement
PETER Hii bersama Pegawai Penguatkuasa MPS Irman Tajuddin Edy memeriksa rokok yang dijumpai diletak di tepi dinding bangunan.
PETER Hii bersama Pegawai Penguatkuasa MPS Irman Tajuddin Edy memeriksa rokok yang dijumpai diletak di tepi dinding bangunan.

SANDAKAN: Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Datuk Peter Hii Chang Lik bersama beberapa pegawai penguatkuasa telah menjumpai sejumlah kecil rokok seludup yang disorokkan di tepi dinding sebuah premis semasa membuat pemeriksaan di Bandar Sibuga Jaya Batu 8.

Beliau telah menerima aduan mengenai penjualan rokok haram itu daripada orang ramai yang masih terdapat di bandar itu walaupun operasi bersepadu pihaknya bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Hidupan Liar dan beberapa agensi lain dijalankan hujung bulan lepas.

Pihaknya mendapat maklumat bahawa penjual terbabit akan menyimpan atau meletakkan rokok seludup mereka dalam plastik berhampiran tong sampah, dalam parit dan sebagainya agar kelihatan seperti sampah.

“Rokok yang kita jumpa walaupun kuantitinya sedikit, diletakkan di tepi dinding sebuah premis bersebelahan tong sampah,” katanya.

Peter Hii berkata pihaknya akan terus membantu pihak berkuasa seperti Jabatan Kastam dalam membanteras penjualan rokok seludup di sekitar bandar ini.

“MPS memberi komitmen yang penuh dalam perkara ini seperti yang kita tandatangani dalam majlis Ops Pacak 2018 bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan ramai yang mengetahui bandar Sandakan merupakan kawasan ‘hot spot’ bagi pendatang tanpa izin dan juga kanak-kanak jalanan yang aktif menjual rokok belum lulus kastam.

ANGGOTA penguatkuasa memeriksa lokasi yang didakwa tempat penyimpanan rokok seludup, sambil diperhatikan oleh Peter Hii.
ANGGOTA penguatkuasa memeriksa lokasi yang didakwa tempat penyimpanan rokok seludup, sambil diperhatikan oleh Peter Hii.

“Aktiviti ini sedikit sebanyak mencacatkan pemandangan serta menjadi punca tidak sihat dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya.

Peter Hii berkata antara inisiatif yang dilaksanakan MPS adalah mengadakan pemeriksaan di setiap premis dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana premis yang didapati menjual barangan tidak bercukai.

Beliau juga memberi amaran kepada pemilik premis agar tidak menjual barang tidak lulus kastam.

Pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya didapati ada pemilik premis berbuat demikian, di mana MPS tidak akan teragak-agak untuk membatalkan lesen perniagaan mereka.

  • oleh
  • Advertisement