Anda di sini

Sultan Ibrahim ziarah Makam Diraja Johor sempena Hari Hol

Advertisement
 Sultan Ibrahim menabur bunga di atas makam Almarhumah Enche’ Besar sempena Hari Hol di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, Johor Bahru semalam. — Gambar Bernama
MENCEMAR DULI: Sultan Ibrahim menabur bunga di atas makam Almarhumah Enche’ Besar sempena Hari Hol di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, Johor Bahru semalam. — Gambar Bernama

JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar semalam berkenan menziarahi makam kerabat diraja Johor di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, di sini, sempena Hari Hol.

Sultan Ibrahim tiba di pekarangan makam berkenaan pada jam 8.55 pagi.

Turut berangkat, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman, Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar serta Tunku Aris Bendahara Johor Tunku Abdul Majid Idris Almarhum Sultan Iskandar.

Hadir sama, Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Azmi Rohani, exco kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat, pegawai daerah serta pegawai kanan kerajaan.

Sultan Ibrahim kemudian menyiram air mawar dan menabur bunga pada makam ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail dan bonda baginda, Almarhumah Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah.

Baginda turut menziarah pusara anakanda baginda, Allahyarham Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil yang mangkat pada 5 Disember 2015 akibat kanser hati.

Sultan Ibrahim turut meluangkan masa menziarahi makam kerabat keluarga diraja lain, termasuk nenda baginda, Almarhum Sultan Ismail Sultan Ibrahim dan moyang baginda, Almarhum Sultan Ibrahim Sultan Abu Bakar.

Mufti Johor Datuk Tahrir A Samsudin mengiringi bacaan doa pada setiap pusara yang diziarahi.

Hari Hol merupakan acara keagamaan sempena memperingati kemangkatan Almarhum Sultan-Sultan Johor yang diamalkan sejak tahun 1896, iaitu setahun selepas kemangkatan Almarhum Sultan Abu Bakar. — Bernama

Advertisement