Anda di sini

Imigresen dan Sabah bincang pengurusan terbaik IMM13

Advertisement
 Mustafar (tengah) ketika mengadakan sidang media semalam. Beliau berkata tiada pemberian dokumen kepada anak-anak pemegang dokumen Kad Pendaftaran Orang Asing Khas (IMM13) di negeri ini. — Gambar Bernama
PERJELAS: Mustafar (tengah) ketika mengadakan sidang media semalam. Beliau berkata tiada pemberian dokumen kepada anak-anak pemegang dokumen Kad Pendaftaran Orang Asing Khas (IMM13) di negeri ini. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen masih sedang berbincang dengan kerajaan negeri Sabah bagi meneliti cara terbaik menangani isu berkaitan pemegang dokumen IMM13, terutama yang berkaitan pengeluaran dokumen itu kepada anak para pemegang dokumen berkenaan yang dihentikan sejak 12 Okt lepas.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata perbincangan itu juga nanti akan turut melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata perbincangan dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkisar kepada soal menentukan berapa ramai bilangan anak pemegang IMM13 ini bagi memastikan soal hak asasi mereka seperti keperluan pendidikan dan kesihatan dipenuhi.

“Apa-apa dokumen pengenalan diri anak-anak ini yang ada pada ibu bapa mereka akan disemak supaya semua isu berkaitan dokumen IMM13 ditadbir dengan baik,” katanya pada sidang akhbar mengenai perkembangan operasi imigresen di sini semalam.

Mustafar berkata demikian sebagai mengulas arahan agar jabatan itu menghentikan penerimaan permohonan pendaftaran anak-anak mendapatkan dokumen IMM13 daripada ibu bapa pemegang dokumen IMM13 berkuat kuasa serta-merta di seluruh Sabah dan Labuan.

Difahamkan arahan itu dikeluarkan berikutan satu rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan orang ramai dipercayai warga asing membanjiri Pejabat Unit Khas Jabatan Imigresen di Wisma Dang Bandang di sini, seterusnya mengundang pelbagai persepsi yang mendakwa pemberian dokumen itu memudahkan mereka mendapat kad pengenalan sebagai warga tempatan.

Untuk rekod, pendaftaran dokumen IMM13 telah dihentikan sejak 2013, yang mana dokumen itu dikeluarkan kepada warga Filipina yang melarikan diri ke Sabah pada tahun 1970-an dari negara asal mereka di selatan Filipina ekoran krisis politik di wilayah selatan negara itu.

“Kita memahami keprihatinan kerajaan negeri terhadap perkara yang ditularkan itu, yang mana orang berpusu-pusu di pejabat Jabatan Imigresen Sabah untuk mendaftarkan permohonan bagi mendapatkan dokumen IMM13,” kata Mustafar.

Beliau bagaimanapun tidak memberitahu tempoh perbincangan dengan kerajaan negeri atau agensi berkaitan kerana perbincangan mendalam diperlukan bagi mencari pendekatan terbaik untuk menanganinya.

Dalam perkembangan lain, Mustafar berkata jabatan berkenaan bercadang menambah keanggotaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) bagi memastikan kemudahan dan keselesaan pengguna lapangan terbang itu diutamakan, khususnya pelancong.

Beliau berharap Malaysia Airports Holdings Bhd turut bekerjasama dalam menentukan pertambahan kaunter perkhidmatan Jabatan Imigresen bagi memudahkan jabatan itu meningkatkan kualiti perkhidmatannya. —  Bernama

Advertisement