Anda di sini

Guru baharu diingatkan sentiasa amalkan etika perguruan 

Advertisement
JENIFER (dua kiri) menyampaikan surat penempatan kepada salah seorang penerima.
JENIFER (dua kiri) menyampaikan surat penempatan kepada salah seorang penerima.

KOTA KINABALU: Guru-guru yang menerima surat penempatan diingatkan agar sentiasa mengamalkan Etika Profesion Perguruan dan mematuhi segala peraturan termaktub dalam Akta Pendidikan serta Perintah Am. 

Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob berkata, sebagai penjawat awam, para guru terikat dengan etika sebagai penjawat awam. 

"Tugas sebagai pendidik perlulah dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Tentu sekali Jabatan Pendidikan Negeri Sabah tidak mahu mendengar laporan-laporan salah laku dalam kalangan guru-guru khususnya bergiat dalam aktiviti yang menyalahi etika sebagai penjawat awam khususnya bergiat politik yang bertentangan dengan kerajaan yang memerintah. 

"Difahamkan seramai 305 orang iaitu 261 guru baharu dan 44 guru interim akan menerima surat tawaran dan penempatan pada hari ini adalah terdiri dalam kalangan anak-anak kelahiran Sabah," katanya ketika menyempurnakan Majlis Taklimat Penempatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) DG41, di sini hari ini.

Teks ucapannya disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Jenifer Lasimbang.

Beliau berkata, penempatan Guru Baharu Sekolah Rendah Bilangan 1 Tahun 2018 pada 23 Januari 2018 yang lepas iaitu seramai 87 orang juga adalah terdiri kalangan anak-anak kelahiran Sabah. 

Katanya, usaha menempatkan guru kelahiran Sabah seperti juga sebelum ini adalah usaha berterusan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah bagi memenuhi Dasar 90:10 2016 hingga 2018.

Menurutnya, objektif adalah bagi mencapai sasaran 90 peratus guru di Sabah adalah anak kelahiran Sabah dalam tempoh tiga tahun bermula tahun 2016 sehingga 2018.

"Status terkini yang berakhir pada 12 Julai 2018 menunjukkan guru kelahiran Sabah bagi Sekolah Rendah telah mencapai 88.75 peratus iaitu 23,273 orang.

"Manakala Sekolah Menengah telah mencapai 83.33 peratus iaitu 12,578 orang. Keseluruhannya guru kelahiran Sabah adalah 86.77 peratus iaitu seramai 35,851 orang," katanya.

Katanya, penempatan itu juga adalah mengambil kira kekosongan perjawatan dan telah diluluskan oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia  (BPSM) dan keperluan opsyen di sekolah.

Hadir sama ialah Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Datuk Dr Kassim Ibrahim.

  • oleh
  • Advertisement