Anda di sini

Lelaki tempatan bebas tuduhan edar dadah

Advertisement
NORAIN bersyukur setelah terlepas daripada hukuman gantung sambil diiringi oleh peguamnya Rakhbir selepas keluar dari Mahkamah Tinggi.
NORAIN bersyukur setelah terlepas daripada hukuman gantung sambil diiringi oleh peguamnya Rakhbir selepas keluar dari Mahkamah Tinggi.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan dapat menarik nafas lega, apabila dibebaskan Mahkamah Tinggi di sini, atas pertuduhan mengedar dadah seberat 1,387.26 gram.

Hakim Datuk Nurchaya Hj Arshad membebaskan dan melepaskan Norain Lamilah,55, yang didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234).

Tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (a) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori, jika sabit kesalahan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 28 November tahun lalu, jam 11.50 pagi di Pejabat Kastam cawangan Bungkusan Pos, Jalan Lapan Belas, Kota Kinabalu, di sini.

Siasatan daripada pihak penguatkuasa mendapati, petak rahsia bagasi tertuduh mengandungi paket berbungkus pita pelekat hitam berisi pil warna hijau dan kelabu disyaki dadah berbahaya.

Analisa Jabatan Kimia mengesahkan ianya 3,4-methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 1,387.26 gram.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya Nazir Amir Johari dari Jabatan Kastam bersetuju untuk menggugurkan pertuduhan setelah mengkaji hujah yang diberikan tertuduh.

Bagaimanapun katanya, pihak pendakwaan meminta mahkamah menimbangkan tertuduh dilepas tetapi tidak dibebaskan.

Peguam tertuduh Dato’ Sri K. Rakhbir Singh membantah pemohonan pendakwaan berkenaan kerana menurutnya mahkamah tidak wajar terus membiarkan tuduhan itu tergantung begitu sahaja.

Katanya, mahkamah perlu memberi pembebasan penuh kecuali dalam keadaan khusus seperti ketiadaan saksi untuk memberi keterangan, sedangkan kes anak guamnya sudah terus berjalan dengan seorang saksi.

Tambahnya, mengikut penelitian hujah dikemukakan, adalah tidak wajar untuk tertuduh terus terikat dengan pertuduhan berkenaan kerana ia bermakna anak guamnya boleh dituduh semula pada masa depan.

Hakim kemudian bersetuju dengan hujah Rakhbir, memandangkan pihak pendakwaan menarik balik tuduhan yang dikenakan kepada tertuduh.

  • oleh
  • Advertisement