Anda di sini

Buku ketokohan Tun Ismail Ali mampu menjadi inspirasi

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kehadiran buku ‘Paragon of Trust and Integrity’ mengenai Gabenor pertama Bank Negara Malaysia (BNM), Tun Ismail Ali, bukan setakat memaparkan ketokohan beliau namun dilihat sebagai perlu ketika ciri-ciri utama seperti kepercayaan, integriti serta dedikasi semakin menipis dalam masyarakat hari ini.

Malah, tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa buku setebal 211 halaman terbitan BNM dan ditulis oleh P.Gunasegaram, mampu menyuntik rasa kagum pembaca selain inspirasi berdasarkan liku-liku perjalanan hidup dan kejayaan seorang insan berlatar belakang serba sederhana namun berupaya bangkit melakar pencapaian dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara.

Dilahirkan pada 1918 dalam keluarga besar 10 beradik, Ismail memulakan pendidikan awalnya di Victoria Institution Kuala Lumpur — anak Melayu pertama daripada institusi berprestij dan kemudiannya melangkah untuk melanjutkan pengajian ke Cambridge University dengan menerima pembiayaan Biasiswa Queen’s.

Ismail merupakan insan yang amat tekun dan dedikasi dalam menuntut ilmu iaitu amalan yang turut diterap dan dipraktikkan oleh kalangan adik-beradiknya.

Tidak hairanlah, keluarga itu melahirkan insan berjaya termasuk adik perempuan Ismail, Tun Dr Siti Hasmah Ali yang juga wanita Melayu pertama di Selangor bergelar doktor.

Menurut buku itu, Ismail memulakan kerjaya sebagai Penolong Gabenor bank pusat itu pada 22 November, 1960 dan seterusnya Gabenor pertama pada 26 Julai, 1962.

Beliau berjaya meletakkan asas yang membolehkan BNM muncul sebagai institusi kewangan utama yang turut disegani.

Ketika itu, Malaysia menikmati tahap pembangunan ekonomi yang baharu dan amat bergantung kepada hasil komoditi yang sebahagian besarnya di bawah kawalan syarikat-syarikat Britain.

Ismail berjaya membangunkan mekanisme dasar monetari serba lengkap selain menjadi perancang sektor kewangan serba komprehensif yang amat penting dalam usaha menyokong keperluan negara.

Selain memiliki komitmen tidak berbelah bahagi terhadap usaha pembangunan negara, beliau juga seorang berwawasan yang percaya kepada semangat serantau. Malah, banyak pencapaian diraih menerusi diplomasi ekonominya dan pembangunan rangkaian kerjasama.

Beliau turut memainkan peranan dalam memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan matlamat serampang dua mata iaitu membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan penghapusan identifikasi bangsa berdasarkan fungsi ekonomi masing-masing.

Sumbangan lain tokoh serba boleh ini adalah dalam usaha penubuhan Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang pada ketika itu terletak di BNM dan seterus menyaksikan beliau menyandang tugas sebagai Pengerusi pertama.

Ismail turut didorong oleh visi serta matlamat untuk memelihara hak bumiputera dan menjadi perancang utama prinsip DEB berasaskan pasaran yang membolehkan usaha pengumpulan aset-aset negara termasuk menerusi ‘Dawn Raid’ iaitu kejayaan Malaysia mengambilalih syarikat konglomerat Britain, Guthrie Corporation Limited.

Sehingga hari ini, PNB terbukti menjadi teras utama yang menggerakkan serta mengumpul aset atau kemakmuran negara.

Sewaktu majlis pelancaran buku tersebut yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Isnin lepas, Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus sempat berkongsi pandangan beliau : “Sewaktu membelek bahan dan maklumat mengenai Gabenor Ismail Ali bagi menghasilkan buku ini, kami dapati tidak banyak gambar beliau yang menunjukkannya sebagai tumpuan utama. Kebanyakannya, beliau lebih berada di sisi pemimpin.

“Saya percaya ini hanya memaparkan pemahaman mendalam beliau sebagai gabenor sebuah bank pusat,” kata Nor Shamsiah.

Pencapaian hebat Ismail termasuk kerjaya cemerlang sebagai Gabenor BNM yang merentasi tempoh pentadbiran empat Perdana Menteri (18 tahun) dan seterusnya sebagai Pengerusi PNB selama 18 tahun.  

Secara keseluruhannya, beliau merupakan Gabenor paling lama berkhidmat iaitu 36 tahun dengan bank pusat berkenaan termasuk dua tahun yang menyaksikannya berperanan sebagai Gabenor serta Pengerusi.

Buku enam bab yang berkisar kepada kehidupan Ismail di tahun-tahun awalnya ketika Perang Dunia Kedua serta tempoh sewaktu beliau menjadi Gabenor pertama sehingga menghembuskan nafas terakhir pada 1998 pada usia 79 tahun, dilancarkan sempena peringatan ulang tahun ke-100.

Ia antara lainnya meliputi temu bual dengan personaliti utama yang mengenali tokoh ini seperti Dr Siti Hasmah, Tan Sri Abdul Aziz Taha, Datuk Taib Hamid, Raja Lope Raja Shahrome, Tan Sri C. Rajandram, Tan Sri Lin See Yan, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz serta ramai lagi.

Apa yang pasti, Tun Ismail adalah seorang pemimpin Malaysia yang berjiwa besar, banyak berjasa serta berdedikasi tanpa mengharapkan pujian mahupun jasanya didendang. — Bernama

Advertisement