Anda di sini

Artis popular meriahkan Konsert Dirgahayu di Sibu, Sabtu ini

Advertisement
 (Dari kiri) Rickie Andrewson, Hafiz Suip, Noh Salleh dan Zizi Kirana antara artis yang akan menghiburkan orang ramai semasa Konsert Dirgahayu yang akan diadakan di Dataran Bandar Sibu pada Sabtu ini.
TEMUI MEREKA: (Dari kiri) Rickie Andrewson, Hafiz Suip, Noh Salleh dan Zizi Kirana antara artis yang akan menghiburkan orang ramai semasa Konsert Dirgahayu yang akan diadakan di Dataran Bandar Sibu pada Sabtu ini.

BEBERAPA artis popular tanah air akan menghiburkan orang ramai pada Konsert Dirgahayu sempena Sambutan Perayaan Hari Lahir Yang Ke-82 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Dataran Bandar Sibu pada 13 Oktober ini.

Konsert yang dijadual bermula jam 8 malam itu akan menampilkan artis popular yang juga juara Akademi Fantasia 7, Hafiz Suip, yang terkenal dengan lagu ‘Awan Nano’ dan ‘Bahagiamu Deritaku’.

Turut menghiburkan orang ramai pada malam itu ialah Noh Salleh @ Noh Hujan, yang tampil dengan single solo baharu beliau berjudul ‘Angin Kencang’. Selain ‘Angin Kencang’, vokalis kumpulan Hujan ini juga popular dengan lagu ‘Kotak Hati’ dan ‘Bila Aku Sudah Tiada’.

Zizi Kirana, seorang artis yang popular dengan rentak rap/hip-hop, juga akan menghiburkan orang ramai pada konsert ini. Berasal dari Sabah, Zizi terkenal dengan lagi seperti ‘Nak Ke Tak Nak’, ‘Boleh Jalan’ dan sebagainya.

Selain artis-artis yang disebutkan di atas, penyanyi popular Iban, Rickie Andrewson juga akan membuat persembahan pada malam itu dengan mendendangkan lagu-lagu popular beliau.

Artis-artis lain yang turut menghiburkan orang ramai ialah Esther Thian, Max Kueh, Mal Imran dan Dayangku Fadzillah. Persembahan pada malam itu akan diiringi oleh kumpulan D’Jaksa.

Menteri bertanggungjawab bagi sambutan kali ini, Dato Sri Wong Soon Koh menjemput semua untuk datang menyaksikan konsert yang dianjurkan khas untuk orang ramai itu.

“Jangan lepaskan peluang menyaksikan Konsert Dirgahayu di Dataran Bandar Sibu pada 13 Oktober ini, bermula jam 8 malam yang pastinya akan  menghiburkan,” ujarnya pada satu sidang media, baru-baru ini.

Bahagian Sibu menjadi tuan rumah kepada Sambutan Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri Ke-82, dari 12 hingga 14 Oktober ini.

Program dimulakan dengan majlis kesyukuran di Masjid An-Nur, bermula jam 6.30 petang pada 12 Oktober.

Pada 13 Oktober, lebih 120 kontinjen akan terlibat dalam perbarisan rapat raksasa di Dataran Bandar Sibu, bermula jam 8 pagi.

Setelah tamat perbarisan, akan berlangsung majlis penganugerahan pingat kebesaran negeri bertempat di RH Hotel.

Pada 14 Oktober, akan berlangsung Majlis High Tea di Kompleks Majlis Islam Sibu, diikuti dengan perasmian Pameran Dirgahayu.

  • oleh
  • Advertisement