Anda di sini

Elak buat aktiviti rekreasi di kawasan lombong

Advertisement
 Para peserta melakukan aktiviti penanaman pokok bakau sempena Sambutan Hari Hutan Antabangsa Dan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2018 bertemakan ‘Hutan Untuk Kesejahteraan Masyarakat’ di Hutan Simpan Kuala Bernam, Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam semalam. — Gambar Bernama
HIJAUKAN BUMI: Para peserta melakukan aktiviti penanaman pokok bakau sempena Sambutan Hari Hutan Antabangsa Dan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2018 bertemakan ‘Hutan Untuk Kesejahteraan Masyarakat’ di Hutan Simpan Kuala Bernam, Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam semalam. — Gambar Bernama

SABAK BERNAM: Orang ramai diingatkan agar tidak sama sekali melakukan aktiviti rekreasi di kolam lombong berdekatan kawasan perumahan yang berisiko tinggi mengancam nyawa mereka, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar.

Beliau berkata orang ramai perlu mengambil iktibar daripada kes enam anggota bomba yang terkorban dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa berusia 17 tahun yang mati lemas di sebuah lombong di Puchong, Selangor, pada malam Rabu lepas.

“Kalau lombong itu berada di bawah kawalan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), maka tindakan sewajarnya akan diambil bagi memasang papan tanda amaran dan pagar bagi menghalang orang luar masuk ke kawasan tersebut,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Hutan Antarabangsa dan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2018 di Hutan Simpan Kuala Bernam di sini, semalam.  

Dalam kejadian kira-kira 9.15 malam itu, enam penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia maut ketika menjalankan operasi SAR remaja terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor.    

Anggota yang terkorban terdiri daripada empat anggota Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dikenali sebagai Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24. Dua lagi daripada Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Adnan Othman,33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

Kematian mereka mengejutkan negara kerana ia merupakan insiden pertama seumpamanya melibatkan kehilangan nyawa anggota penyelamat dalam jumlah yang besar.

JPS dalam kenyataan sebelum ini berkata pihaknya mengambil serius aspek-aspek keselamatan di kolam itu memandangkan kawasan tersebut bukan kawasan bagi orang ramai melakukan aktiviti air dan riadah.

Katanya JPS bertindak segera memasang papan tanda amaran dan pagar menghala masuk ke jambatan atas struktur weir di lombong Taman Putra Perdana, Puchong itu bagi menghalang orang luar masuk ke kawasan tersebut.

Dalam perkembangan lain, Dr Xavier berkata kabinet bersetuju untuk menghentikan pengeksportan pasir laut ke luar negara dan arahan itu dijangka berkuat kuasa dalam tempoh dua minggu lagi. — Bernama

Advertisement