Anda di sini

Tiga rakyat Palestin maut diserang Israel

Advertisement
 Pemberontak yang cedera dalam pertelingkahan dengan pasukan keselamatan dibawa keluar di  Jabalia, utara semenanjung Gaza, kelmarin. — Gambar AFP
TERUS BERDARAH: Pemberontak yang cedera dalam pertelingkahan dengan pasukan keselamatan dibawa keluar di Jabalia, utara semenanjung Gaza, kelmarin. — Gambar AFP

KOTA GAZA, Wilayah Palestin: Tiga penduduk Palestin termasuk seorang remaja lelaki berusia 14 tahun terbunuh dalam serangan Israel kelmarin ke atas sempadan Gaza, manakala pertelingkahan meletus dengan pasukan keselamatan sewaktu tunjuk perasaan diadakan, kata kementerian kesihatan di wilayah tersebut.

Fares Hafez al-Sersawi, 14, dan Mahmud Akram Mohammed Abu Samane, 24, maut selepas ditembak di bahagian dada sewaktu demonstrasi ke timur Kota Gaza, kata jurucakap kementerian Ashraf al-Qudra.

Hussein al-Rakab, 28, maut selepas ditembak di bahagian kepala dekat Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza, kata Qudra.

Seramai 376 lagi cedera, termasuk 126 yang telah ditembak, menurut perangkaan kementerian kesihatan.

Tujuh berada dalam keadaan tenat termasuk seorang sukarelawan perubatan.

Tentera Israel berkata kira-kira 20,000 penduduk Palestin menyertai tunjuk perasaan kelmarin di beberapa tempat di sepanjang sempadan Gaza, untuk meneruskan siri demonstrasi yang bermula pada Mac lalu.

Bom tangan, bahan letupan dan batu dilemparkan ke arah askar Israel yang bertugas di belakang perintang yang memisahkan Gaza daripada Israel, kata tentera.

Tentera Israel membalas dengan peluru hidup dan sebuah pesawat turut melancarkan dua serangan di Gaza, kata tentera.

Angkatan tentera berkata ia tidak dapat segera mengulas mengenai keadaan di sebalik kematian penduduk Palestin berkenaan.

Protes di sempadan sudah diadakan sejak 30 Mac lalu di Semenanjung Gaza, yang ditadbir oleh pergerakan Hamas dan sudah berada di bawah sekatan Israel yang melumpuhkan selama lebih sedekad.

Penunjuk perasaan menyeru bagi hak untuk penduduk Palestin kembali ke kampung halaman mereka dahulu, dari mana keluarga mereka telah dihalau atau lari sewaktu perang 1948 yang membawa kepada penubuhan negara Israel.

Perhimpunan itu kerap bertukar ganas di sempadan yang dikawal ketat.

Sekurang-kurangnya 198 penduduk Palestin sudah maut dalam serangan Israel di Gaza sejak 30 Mac lalu manakala seorang askar Israel ditembak mati oleh seorang penembak hendap Palestin.

Israel berkata tindakannya bertujuan untuk melindungi wilayah, askar dan orang awamnya yang tinggal dekat dengan sempadan Gaza.

Tentera menuduh Hamas mendalangi demonstrasi termasuk penyertaan kanak-kanak untuk menyembunyikan aktivitinya.

Israel sudah terlibat dalam tiga peperangan dengan Hamas sejak 2008 dan menganggap kumpulan itu sebagai sebuah organisasi “pengganas”.

Selepas tempoh yang agak tenang, protes besar-besaran semakin kerap berlaku sejak beberapa minggu lepas.

Usaha diplomatik yang tidak menunjukkan kemajuan serta perbalahan berterusan di antara kumpulan-kumpulan yang bermusuhan di Gaza telah menimbulkan kebimbangan tentang keganasan baharu di wilayah terbabit.

Dua juta penduduk di Gaza mengalami keadaan hidup yang buruk termasuk kekurangan air minum yang selamat dan kejadian bekalan elektrik terputus yang kerap berlaku.

Bank Dunia berkata pada bulan lepas bahawa ekonomi Gaza “sedang merudum”, potongan kepada bantuan dan gaji memburukkan lagi impak daripada sekatan. — AFP

Advertisement