Anda di sini

Bot karam, seorang pemancing maut

Advertisement
MAYAT mangsa yang tiba di jeti APMM Labuan diusung untuk dibawa ke Hospital Labuan.
MAYAT mangsa yang tiba di jeti APMM Labuan diusung untuk dibawa ke Hospital Labuan.

LABUAN: Hasrat dua rakan untuk memancing di perairan Semarang dekat sini berakhir tragedi selepas seorang daripada mereka meninggal dunia akibat bot karam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Labuan Kepten Maritim Che Adnan Md Isa berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Sibaru Apui, 54.

Menurutnya, mangsa dan rakannya Nasir Garar, 50, keluar memancing menggunakan sebuah bot pada Jumaat lepas.

Bagaimanapun jelasnya, kira-kira jam 9 malam, bot mangsa mengalami kebocoran dan kedua-duanya sempat memakai jaket keselamatan sebelum bertindak meninggalkan bot terbabit.

"Selepas sejam, kedua-dua pemancing terpisah akibat cuaca buruk dan Nasir dilaporkan selamat selepas ditemukan oleh bot nelayan dan dihantar ke jeti di Kuala Penyu pada malam Sabtu.

"Maritim Zon Labuan melancarkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Ops Carilamat) bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Labuan selepas abang mangsa Sigar Apui, 57, membuat laporan polis sekitar jam 7.25 malam pada Sabtu.

"Mayat mangsa berjaya ditemukan PPM kira-kira jam 11 pagi pada Ahad berhampiran lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, mayat berkenaan kemudiannya dibawa ke Jeti APMM Labuan sebelum dihantar ke Hospital Labuan untuk proses pengecaman mayat oleh keluarga mangsa.

Che Adnan berkata, pihaknya mengambil berat isu keselamatan di laut khususnya melibatkan pemancing bot kecil dan bot-bot nelayan.

Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai membuat persiapan sewajarnya sebelum keluar ke laut berikutan cuaca buruk yang tidak menentu.
 

  • oleh
  • Advertisement