Anda di sini

Wanita maut di simpang lampu isyarat

Advertisement
 Mayat mangsa terbujur kaku di tengah persimpangan lampu isyarat.
MAUT: Mayat mangsa terbujur kaku di tengah persimpangan lampu isyarat.

SIBU: Seorang pembonceng wanita maut manakala suaminya terselamat apabila motosikal mereka berlanggar dengan lori di persimpangan lampu isyarat, Jalan Salim dan Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce di sini semalam.

Dalam kejadian jam 6.15 pagi itu, mangsa dikenali Latipah@Hatipah Aleng, 59, seorang pekerja kilang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Saerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata kemalangan berlaku apabila mangsa bersama suaminya, Basah Bagong, 69, bergerak dari arah Jalan Salim menuju ke Hulu Lanang apabila berlanggar dengan sebuah lori dari arah Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce menuju ke Jalan Teku di sini.

“Mangsa terjatuh dari motosikal disahkan meninggal dunia oleh pihak ambulans Hospital Sibu di tempat kejadian manakala suaminya selamat dan tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Katanya, pemandu lori yang berusia 29 tahun kemudian ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan dibebaskan dengan jaminan polis.

Katanya, siasatan polis mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Kes tersebut masih dalam siasatan polis.

Advertisement