Anda di sini

Rumah ranap, sekeluarga hilang tempat tinggal

Advertisement
 Bomba berusaha mengawal kebakaran meranapkan rumah kayu di Pujut 8, Miri petang semalam.
MUSNAH: Bomba berusaha mengawal kebakaran meranapkan rumah kayu di Pujut 8, Miri petang semalam.

MIRI: Sebuah keluarga hilang tempat tinggal setelah rumah mereka musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Pujut 8, di sini petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 3 petang itu berlaku dengan pantas menyebabkan rumah yang dianggarkan berusia 20 tahun itu musnah dalam sekelip mata.

Sepasang suami isteri bersama empat anak mereka dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut.

Menurut penduduk, semasa kejadian terdapat dua anak penghuni terbabit berada di rumah.

“Kejadian dipercayai berlaku ketika bapa anak-anak terbabit hanya keluar sebentar ke kedai berdekatan untuk membeli barang.

“Tidak lama selepas itu, kami terkejut apabila kanak-kanak itu menjerit meminta tolong daripada kami dengan memberitahu bahawa rumah mereka terbakar,” katanya.

Sementara itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

Bomba berjaya mengawal dan memadamkan api daripada terus marak. Punca kejadian masih dalam siasatan.

Advertisement