Anda di sini

Lebih 1,000 mungkin masih hilang

Advertisement
 Anggota kumpulan ‘International Emergency Firefighters’ dari Perancis bersiap sedia untuk memasuki hotel Mercure yang rosak teruk dalam operasi mencari dan menyelamat di Palu di Sulawesi Tengah, Indonesia, kelmarin, selepas gempa bumi           dan tsunami berlaku pada 28 September lalu. — Gambar AFP
ROSAK TERUK: Anggota kumpulan ‘International Emergency Firefighters’ dari Perancis bersiap sedia untuk memasuki hotel Mercure yang rosak teruk dalam operasi mencari dan menyelamat di Palu di Sulawesi Tengah, Indonesia, kelmarin, selepas gempa bumi dan tsunami berlaku pada 28 September lalu. — Gambar AFP

PALU: Lebih 1,000 orang mungkin masih hilang selepas gempa bumi dan tsunami melanda Indonesia, kata pegawai semalam, untuk meningkatkan dengan drastik jumlah keseluruhan orang yang tidak dapat dikesan selama seminggu selepas bencana tersebut berlaku.

Kota Palu di Pulau Sulawesi menjadi padang jarak padang tekukur selepas ia dilanda gempa kuat dan dinding ombak yang meranapkan rumah selain menterbalikkan kereta, dan jumlah kematian yang disahkan sekarang adalah sebanyak 1,558.

Kebimbangan semakin meningkat bahawa sejumlah besar orang telah tertimbus dalam sebuah kompleks perumahan kerajaan yang besar di Balaroa, di mana kekuatan gempa telah mengubah tanah menjadi ‘bubur’ buat seketika.

“Kami menganggarkan lebih seribu rumah telah tertimbus, jadi mungkin lebih 1,000 orang masih hilang,” kata Yusuf Latif selaku juru-cakap agensi pencari dan penyelamat Indonesia, kepada AFP.

“Namun kami masih belum dapat pasti kerana ada kemungkinan ada orang yang berjaya keluar.”

Pegawai sebelum ini meng-anggarkan kira-kira 100 orang telah hilang.

Selepas kelewatan selama berhari-hari, bantuan antarabangsa akhirnya mula tiba di zon bencana, di mana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata hampir 200,000 orang memerlukan bantuan kemanusiaan.

Mangsa selamat telah menggeledah kedai dan trak bekalan untuk mendapatkan keperluan asas, yang mendorong pasukan keselamatan untuk menangkap puluhan suspek yang disyaki melakukan penjarahan dan memberi amaran bahawa mereka akan menembak pencuri.

Pihak berkuasa sebelum ini menetapkan Jumaat sebagai tarikh akhir buat sementara waktu untuk mencari orang yang mungkin terperangkap di bawah bangunan yang runtuh, walaupun peluang untuk mengeluarkan mangsa dalam keadaan masih hidup daripada runtuhan pada peringkat yang begitu lewat adalah hampir kosong.

Imej kawasan kejadian menunjukkan lambakan luas rumah yang ranap di sebelah sebatang jalan yang pecah teruk.

Di hotel Mercure yang rosak teruk di tebingan Palu, kehampaan semakin meningkat di kalangan pasukan pencari Perancis dan Indonesia.

Penyelamat, yang menggunakan anjing pengesan dan pengimbas, mengesan apa yang mereka percaya adalah seorang individu di bawah timbunan runtuhan pada malam sebelum itu tetapi apabila mereka menyambung usaha pada awal semalam, semua tanda nyawa sudah tiada lagi.

“Semalam kami mendengar degupan jantung dan tanda pernafasan, pergerakan lain tidak ada, jadi ia bermakna ia adalah seseorang yang tidak dapat bergerak, terbatas,” kata Philippe Besson, presiden ‘International Emergency Firefighters’.

“Hari ini kita tidak ada sebarang isyarat.”

Seminggu selepas bencana berlaku, beberapa batang jalan di kawasan kejadian masih belum dapat dilalui, puing daripada tsunami bertaburan di merata-rata tempat manakala penduduk yang ketakutan tidur di luar kerana bimbang gempa akan berlaku lagi.

Bendera putih yang di-ubahsuai – sarung bantal atau penutup beg kain – berkibar di luar kebanyakan rumah untuk memaklumkan tentang kematian dalam ke-luarga.

Walau bagaimanapun terdapat tanda bahawa kehidupan sudah kembali normal, dengan kanak-kanak yang bermain di jalan, radio yang menyiarkan muzik, dan bekalan elektrik yang sudah pulih di kebanyakan tempat.

“Keadaan semakin pulih,” kata Azhari Samad, seorang jurujual insurans berusia 56 tahun, kepada AFP di sebuah masjid di Palu.

Namun bagi kawasan itu untuk pulih sepenuhnya daripada bencana itu “akan memakan masa bertahun-tahun”, ujarnya.

“Enam bulan pertama pasti traumatik, mungkin dalam masa setahun kita ada sedikit kemajuan. Kerajaan akan membantu, rakyat akan membantu dari seluruh negara. Rakyat Indonesia mempunyai hati yang besar.”

Di sebuah kampung di luar Donggala, Irham Hassan berhimpun bersama kira-kira 200 lelaki di sebuah masjid tempatan untuk sembahyang Jumaat di negara majoriti Muslim terbesar di dunia.

“Kami rasa sedikit lega kerana tiada tanda tsunami seterusnya,” kata lelaki ber-usia 50 tahun itu kepada wartawan AFP.

“Namun kami masih belum pulang ke rumah kami.”

Kira-kira 20 pesawat yang membawa bekalan penting seperti kain tarpal, peralatan perubatan dan penjana kuasa tiba dari seluruh dunia untuk dibawa ke zon bencana selepas begitu lama tertangguh.

Kerajaan dari Australia hingga Britain menerbangkan bekalan, PBB menjanjikan AS$15 juta (RM60 juta) kepada usaha bantuan, dan kumpulan bantuan termasuk ‘Save the Children’ dan Persatuan Palang Merah juga berada di lapangan. — AFP

Advertisement