Anda di sini

Aplikasi GetFood mudahkan tempahan, pesanan makanan

Advertisement
 Dr Sim (tengah) mengeluarkan makanan yang dihantar oleh khidmat penghantaran yang dipesan menerusi aplikasi GetFood. Turut kelihatan Koh (dua kanan) dan Pengerusi iCube Innovation Datuk Patrick Liew (dua kiri).
MUDAH: Dr Sim (tengah) mengeluarkan makanan yang dihantar oleh khidmat penghantaran yang dipesan menerusi aplikasi GetFood. Turut kelihatan Koh (dua kanan) dan Pengerusi iCube Innovation Datuk Patrick Liew (dua kiri).

KUCHING: Tempahan dan pesanan makanan kini lebih mudah dengan teknologi aplikasi telefon mudah alih terkini GetFood yang dilancarkan semalam.

Majlis pelancaran aplikasi ini telah dilakukan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian di Vivacity Megamall di sini semalam.

Dalam ucapan pelancarannya, Dr Sim memuji usaha Pengasas dan Ketua Pegawai Ekesekutif (CEO) GetFood Joe Koh kerana telah membangunkan aplikasi berkenaan.

Pembangunan aplikasi ini katanya, adalah sebagai menyokong usaha Kerajaan Sarawak membangunkan ekonomi negeri ini menerusi platform digital.

“Kita berbangga kerana orang Sarawak juga dapat membangunkan aplikasi seperti ini yang mana bukan sahaja dapat digunakan oleh rakyat kita sendiri tetapi juga masyarakat luar.

“Kita mahu inisiatif seperti ini tidak hanya terhad di Sarawak sahaja tetapi juga menembusi pasaran luar dalam ASEAN,” katanya.

Dalam pada itu, GetFood merupakan teknologi aplikasi telefon mudah alih baharu yang dibangunkan oleh bakat Sarawak sendiri dan merupakan aplikasi sehenti untuk tempahan makanan dan khidmat penghantaran.

Lebih menarik, aplikasi ini membolehkan penggunanya mencari tempat makan baharu yang menyajikan pelbagai pilihan makanan tanpa perlu beratur panjang di kaunter atau bersesak dengan orang ramai.

Koh dalam pada itu berkata aplikasi ini membolehkan pengguna melayari dengan mudah menu-menu yang ditawarkan dengan mengimbas kod QR di meja mereka.

Selepas mengimbas kod QR, pengguna boleh memesan makanan mereka dan memilih kaedah pembayaran tanpa perlu menunggu lama khidmat pelayan yang lambat atau malas mengambil pesanan.

“Ketika ini, GetFood telah menjalinkan kerjasama dengan lebih daripada 100 pengusaha kafe dan restoran di sekitar bandar ini dengan caj penghantaran minimum RM2 serta dijamin sampai dalam masa setengah jam.

“Kita juga sudah mempunyai beberapa ribu pengguna aktif di Kuching dan kita akan memperluaskan lagi penggunaan aplikasi ini ke lebih banyak lagi bandar di negeri ini dalam masa terdekat,” katanya.

Aplikasi ini boleh dimuat turun menerusi aplikasi Apple Store dan Google Play Store secara percuma dan layari www.getfood.com.my untuk maklumat lanjut serta daftar masuk sebagai peniaga GetFood.

  • oleh
  • Advertisement