Anda di sini

The Citizens mahu akhiri badi di Anfield

Advertisement

MANCHESTER, England: Juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City, kembali ke gelanggang kekalahan terburuk mereka musim lepas apabila menentang pencabar kejuaraan liga musim ini, Liverpool, pada pertemuan dinanti-nanti di Anfield Ahad ini.

City tewas dua kali kepada Liverpool – 3-4 dalam Liga Perdana dan 0-3 pada perlawanan suku akhir pertama Liga Juara-Juara musim lepas.

Perlawanan itu adalah menarik dan menghiburkan untuk peminat berkecuali dan satu lagi permainan menarik dijangkakan Ahad ini.

Kedua-dua pasukan belum tewas dalam liga musim ini dan masing-masing mencipta enam kemenangan dan sekali seri dari tujuh perlawanan untuk berkongsi 19 mata di kelompok teratas liga dengan City di tangga teratas dengan kelebihan gol.

Cara kemenangan Liverpool, dengan merobek pertahanan City dan pergerakan pantas penyerangnya, menyebabkan Liverpool mampu mengatasi City lagi.

“Ini adalah perlawanan di mana anda mahu menang. Mereka adalah pasukan yang berprestasi baik dan di Anfield, kami tahu ia adalah perlawanan yang sukar bagi kami,” kata kapten City, Vincent Kompany.

“Tetapi saya fikir pasukan City ini telah menunjukkan sebelum ini di mana kami sentiasa bersedia untuk perlawanan seperti ini,” tambah beliau.

Pada bulan Januari, Liverpool mendahului 4-1 sebelum City cuba bangkit dengan dua gol pada 10 minit terakhir, dengan semua penyerang Liverpool – Mohamed Salah, Sadio Mane dan Roberto Firmino menjaringkan gol.

Namun gandingan yang sama kurang menyerlah musim ini dengan Salah paling mengecewakan tetapi Xherdan Shaqiri dan Daniel Sturridge, yang menjaringkan gol penyamaan lewat di Chelsea minggu lepas, adalah pilihan yang baik buat pengurus Liverpool, Jurgen Klopp walaupun jika bermula di bangku simpanan.

Liverpool juga kelihatan kuat di benteng pertahanan seperti musim lepas dan mempunyai lebih banyak pilihan di bahagian tengah dengan pembelian Naby Keita dan Fabinho.

Pada perlawanan tumpuan lain, pengurus Manchester United, Jose Mourinho, tidak mampu untuk satu lagi prestasi buruk apabila menentang Newcastle United di Old Trafford pada perlawanan hari Sabtu.

Berikutan laporan perpecahan dalam skuad, United belum menang dari empat perlawanan terakhir dalam semua pertandingan dan berada di tangga ke-10 liga setakat ini, sembilan mata di belakang City dan Liverpool.

Selain itu, Chelsea, kelab ketiga yang belum lagi tewas musim ini, akan bertandang ke Southampton pada hari Ahad sementara Arsenal akan bertandang ke Fulham. — Reuters

Advertisement