Anda di sini

Penggunaan borang memohon PPR masih releven

Advertisement
JAUJAN (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama pengamal-pengamal media yang hadir dalam majlis itu.
JAUJAN (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama pengamal-pengamal media yang hadir dalam majlis itu.

KOTA KINABALU: Pengedaran borang untuk permohonan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sini masih releven walaupun cadangan menggunakan pendaftaran secara atas talian diterima positif.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jaujan Sambakong berkata, penggunaan borang diisi secara bertulis adalah lebih baik kerana mampu mengelakkan berlakunya sebarang unsur-unsur negatif dalam memiliki PPR.

"Cadangan pemohonan atas talian boleh dipertimbangkan bagaimanapun ramai dalam kalangan pemohon tidak mahir menggunakannya. Cara itu juga boleh menyebabkan kita tidak dapat mengenal pasti siapa pemohon itu.

"Mengisi secara bertulis dalam borang adalah lebih baik kerana kita boleh mencari data mereka dengan mudah.

"Saya bimbang wujudnya unsur-unsur individu memohon secara online...berjaya tetapi seseorang itu sudah memiliki rumah atau menyewakan rumah PPR kepada orang yang benar-benar memerlukan," katanya ketika ditemui dalam Majlis Makan Malam Bersama Media, di sini pada malam Khamis.

Beliau berkata, keadaan itu seterusnya menyebabkan kerajaan tidak mampu mencapai sasaran memberikan rumah PPR kepada rakyat yang memerlukan.

Katanya, program itu sudah lama dilaksanakan tetapi pada hari ini dilihat semakin ramai pemohon.

"Oleh itu, tidak dinafikan wujudnya unsur-unsur individu itu sudah memiliki rumah tetapi mahu memohon lagi.

"Kedua-dua cara ini akan diguna pakai tetapi pada masa kini kita menggunakan pendekatan pengisian borang secara bertulis bagi mengelakkan kejadian tidak telus," katanya.

Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, kehadiran pemohon yang ramai untuk mendapatkan borang PPR di Putatan baru-baru ini menunjukkan rakyat masih memerlukan bantuan perumahan daripada kerajaan.

Katanya, rumah mampu milik yang dibangunkan kini masih tidak mencukupi kerana seluruh Sabah memerlukan sejumlah ratusan ribu unit PPR berkenaan.

"Tidak mudah untuk memilih siapa layak mendapat rumah ini kerana semua mereka datang mendakwa tidak memiliki rumah.

"Dalam pemilihan ini kita ikut berdasarkan kategori, kita hanya beri kepada rakyat yang berpendapatan rendah...terdapat juga di antara mereka yang berjaya mendapat rumah sebelum ini tetapi berpendapatan tinggi," katanya.

Menurutnya, pengedaran borang dilakukan khususnya bagi mendapatkan data sah daripada setiap pemohon dan bukannya mahu mengisi PPR yang sedia ada di Putatan.

Katanya, PPR yang ada di daerah itu tidak sampai 1,000 unit tetapi sebanyak 60 ribu borang permohonan berjaya diedarkan.

"Sekurang-kurangnya kita mampu mengumpul maklumat berdasarkan borang yang diedarkan. Saya berharap pada masa hadapan dengan kekuatan ekonomi Sabah, perkara ini kita dapat realisasikan dengan pembinaan lebih banyak PPR," katanya.

  • oleh
  • Advertisement