Anda di sini

Paunovic mahu cipta sejarah bersama Sabah

Advertisement
AKSI Paunovic (kanan) semasa Sabah menentang Kelantan pada suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Likas, Sabtu lalu. Sabah menang perlawanan itu 1-0 hasil jaringan Paunovic.
AKSI Paunovic (kanan) semasa Sabah menentang Kelantan pada suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Likas, Sabtu lalu. Sabah menang perlawanan itu 1-0 hasil jaringan Paunovic.

KOTA KINABALU: Penyerang import Sabah dari Serbia, Rodoljub Paunovic, 33, melihat misinya berada di landasan baik untuk mencipta sejarah bersama Sabah selepas membantu pasukan layak ke separuh akhir Piala Malaysia musim ini.

"Misi saya di sini (bersama Sabah) adalah untuk mencipta sejarah dan saya fikir saya berada di landasan yang baik untuk melakukannya.

"Sabah tidak pernah menang gelaran juara Piala Malaysia. Sekarang hanya satu langkah lagi ke final untuk satu lagi peluang mendakap gelaran itu. Saya akan berkerja keras bersama pasukan lepasi separuh akhir untuk dapatkan peluang itu," kata Paunovic dalam perbualan menerusi WhatsApp hari ini.

Sabah akan membuat perhitungan dengan Perak pada separuh akhir selepas menyingkirkan Kelantan dengan pada suku akhir.

Sabah akan bertandang ke Stadium Perak untuk separuh akhir pertama pada Ahad ini (7 Oktober) sebelum bertarung di gelanggang sendiri untuk separuh akhir kedua di Stadium Likas pada 21 Oktober.

Jaringan menerusi sepakan penalti Paunovic membantu Sabah menang 1-0 ke atas Kelantan pada suku akhir kedua di Stadium Likas untuk agregat 2-2 tetapi menyingkirkan lawan itu dengan kelebihan jaringan di tempat lawan (Sabah tewas 1-2 suku akhir pertama di Kelantan).

Paunovic berkata, pertemuan dengan Kelantan pada suku akhir kedua di Stadium Likas pada Sabtu lalu itu bukan sahaja istimewa kerana jaringan kemenangannya tetapi suasana mengujakan dengan kehadiran lebih 20 ribu penyokong.

"Suasana seperti itulah yang kita mahu...penyokong adalah pemain ke-12 kita," katanya.

Paunovic berkata, suasana seperti itu juga pernah dinikmatinya ketika bersama kelab Thai Honda dalam saingan Liga Divisyen 1 Thailand pada musim 2014-2015 di mana dia muncul sebagai Pemain Terbaik dan Penjaring Terbanyak dengan 41 jaringan dalam 55 penampilan.

"Perlawanan terakhir kami mengalahkan Shukotai di mana saya menjaringkan dua gol. Gol kedua pada masa kecederaan dan ia membantu Thai Honda mencipta sejarah naik ke saingan Liga Super di hadapan lebih 20 ribu penyokong.

"Saya harap dapat melakukan perkara sama bersama Sabah. Kami kena berkerja keras untuk ini (Piala Malaysia) dan pada masa depan pastinya semua akan mengingati kami dan akan cuba melakukan perkara sama," katanya.

"Ketua jurulatih (Jelius Ating) sentiasa mengingatkan kami bagaimana pentingnya Piala Malaysia dan ini membuatkan pemain bekerja keras untuk saingan ini," katanya lagi.

Ia merupakan pertemuan kali keempat Sabah dan Perak dalam separuh akhir Piala Malaysia selepas musim 2002, 2003 dan 2007.

Tiga pertemuan sebelum ini berkenaan berpihak kepada Sabah dengan memenanginya pada musim 2002 dan 2003 sebelum Perak membalas dengan memenanginya pada 2007.

Sabah bagaimanapun hanya muncul naib juara pada 2002 dan 2003 iaitu untuk ketiga kalinya selepas kali pertama pada 1996.

Sabah tewas kepada Selangor pada final 1996 dan 2002 dan dikecewakan MPPJ Selangor pada 2003.

  • oleh
  • Advertisement