Anda di sini

Kurangkan kebergantungan daripada kerajaan

Advertisement
 Syed Saddiq berucap pada Majlis Sesi Townhall bersama Agensi Permotoran di Kementerian Belia dan Sukan, Kuala Lumpur semalam. — Gambar Bernama
FOKUS: Syed Saddiq berucap pada Majlis Sesi Townhall bersama Agensi Permotoran di Kementerian Belia dan Sukan, Kuala Lumpur semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa lebih ramai penggiat sukan permotoran membantu meningkatkan program akar umbi, sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan daripada kerajaan terhadap program pembangunan sukan berkenaan.

Syed Saddiq mengakui sukan permotoran memerlukan peruntukan yang tinggi, maka sangat penting sokongan penuh daripada semua pihak dalam industri sukan tersebut terutamanya dalam aspek kewangan.

“Apabila berdepan dengan kekangan kewangan, sokongan daripada penggiat sukan permotoran diperlukan dan ia secara automatik dapat mengurangkan perbelanjaan. Banyak sukan juga memerlukan peruntukan tinggi, tetapi jika mendapat kerjasama daripada penggiat sukan permotoran dan penaja, maka kerajaan tidak perlu lagi mengeluarkan sebarang peruntukan.

“Saya merasakan itulah jalannya kerana sukan permotoran mempunyai komuniti yang besar dan sukan ini akan terus mendapat sokongan daripada mereka,” kepada pemberita selepas selesai sesi Townhall Permotoran di sini semalam.

Syed Saddiq berkata menerusi sesi Townhall selama dua jam bersama penggiat sukan permotoran itu, beliau menyifatkan perhatian perlu diberikan kepada golongan B40 (golongan 40 peratus berpendapatan rendah) Bumiputera dalam membanteras gejala mat rempit.

Beliau seterusnya berkata golongan itu memerlukan perhatian daripada pelbagai pihak selain fasiliti yang bersesuaian untuk mereka berlumba.

Sesi Townhall bagi membincangkan isu sukan permotoran itu turut dihadiri wakil Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Petronas serta beberapa penggiat sukan permotoran tempatan. — Bernama

Advertisement