Anda di sini

Guna khidmat pengadil bertauliah

Advertisement
 Bakal pengadil bergambar bersama (duduk, dari enam kiri) Moses, Khoo dan Pegawai Pembangunan Pengadil Sarawak Fitry Johnwayne dan Setiausaha SFA ASP Kushairy Bujang selepas kursus berakhir.
KENANGAN: Bakal pengadil bergambar bersama (duduk, dari enam kiri) Moses, Khoo dan Pegawai Pembangunan Pengadil Sarawak Fitry Johnwayne dan Setiausaha SFA ASP Kushairy Bujang selepas kursus berakhir.

KUCHING: Persatuan Bolasepak Bahagian Sibu (SFA) mengingatkan mana-mana penganjur pertandingan bola sepak di Sibu agar tidak menggunakan khidmat pengadil yang tidak diiktiraf oleh persatuan tersebut.

Timbalan Presiden SFA Mejar (B) Moses Ripai berkata ini bagi mengelak sebarang masalah yang tidak diingini dihadapi penganjur kerana menganjurkan pertandingan tanpa sokongan daripada persatuan.

“Sehubungan itu, SFA menyeru mana-mana penganjur agar berhubung dengan persatuan terlebih dahulu sekiranya mereka hendak menganjurkan sebarang pertandingan atau aktiviti supaya kami dapat membantu dari segi teknikal dan pengadil.

“Persatuan juga merayu penganjur kejohanan futsal dan bola sepak di bahagian Sibu baik badan kerajaan atau swasta agar berhubung terus dengan SFA dan memaklumkan sebarang penganjuran pertandingan.

“Persatuan akan membantu menyediakan nasihat teknikal dan bantuan logistik jika perlu. Pemain yang berbakat juga boleh dikemukakan dan dicadang untuk pemilihan pemain Sarawak akan datang,” katanya semalam.

Menurut Moses, SFA adalah gabungan Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) dan setiap pertandingan bola sepak dan futsal hendaklah memohon secara bertulis kepada pihak SFA.

Tegasnya, SFA tidak akan bertanggungjawab jika berlaku sebarang pergaduhan semasa perlawanan dianjurkan dan tindakan penggantungan pemain yang mencetuskan pergaduhan tidak dapat dilakukan.

Katanya, SFA akan menghantar jurulatih untuk memilih pemain bagi mewakili bahagian Sibu dalam Piala Sarawak atau mewakili skuad Liga Perdana Sarawak.

Menurut Moses, SFA telah tampil dengan pelbagai inisiatif untuk memartabatkan mutu pengadilan bola sepak di Sibu dengan menganjur pelbagai kursus bagi melahirkan lebih ramai pengadil bertauliah.

Ini termasuk Kursus Pengadil Kelas 3 yang diadakan baru-baru ini di Sibu, katanya.

Menurutnya, sebarang pertanyaan boleh berhubung dengan beliau sendiri di talian 019-4388306 atau Mohd Safree (0 13-8037300).

Sementara itu, seramai 30 peserta termasuk dari luar Sibu menyertai Kursus Pengadil Kelas 3 anjuran SFA.

Katanya, kebanyakan peserta yang mengambil bahagian ialah anggota tentera.

“Respons terhadap kursus ini sangat menggalakkan dan satu kejayaan di mana ada peserta yang mengambil bahagian datang dari Sarikei dan Kanowit.

“SFA berharap pengadil-pengadil baharu ini akan diberi peluang dan pendedahan mengendalikan perlawanan yang akan diadakan pada masa akan datang,” katanya.

Perasmian kursus disempurnakan Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superintenden Martin Khoo.

Advertisement