Anda di sini

PPM diminta bawa gelombang baharu dalam perkhidmatan

Advertisement
SHAFIE (tengah) menyampaikan watikah kepada PPM DUN Tempasuk Ladim Abdul Rahman (kiri).
SHAFIE (tengah) menyampaikan watikah kepada PPM DUN Tempasuk Ladim Abdul Rahman (kiri).

KOTA KINABALU: Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) perlu bawa gelombang baharu dalam berkhidmat kepada rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, tanggungjawab yang diamanahkan bukan untuk kepentingan diri dan parti sendiri.

Katanya, jawatan yang dipikul PPM bukanlah untuk bermegah tetapi amanah yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.

"Sabah baharu bukan diukur dari bangunan baharu tetapi nilai dan cara kepimpinan para pemimpin.

"Jangan ikut kepimpinan lalu yang hanya gunakan kuasa," katanya ketika berucap sempena Upacara Penerimaan Watikah dan Angkat Sumpah PPM, di sini hari ini.

Beliau turut mengingatkan kepada semua PPM yang menerima watikah supaya menjauhi gejala rasuah.

Shafie berkata, jangan mudah tergoda apabila ditawarkan dengan projek atau tanah semasa berkhidmat.

"Masalah rakyat lebih utama dan pemimpin tidak boleh hanya menjaga kepentingan diri tetapi rakyat dibiarkan.

"Niat untuk menolong perlu mengikut cara yang sewajarnya tanpa perlu mengambil rasuah," jelasnya.

Katanya, PPM yang sudah dilantik di kawasan masing-masing perlu tinggal di kawasan berkenaan dan bukannya di tempat lain.

Beliau berkata, jika PPM tidak tinggal di kawasan sendiri, sudah tentu akan menyusahkan rakyat dalam mendapatkan bantuan dan perkhidmatan.

Dalam pada itu, Shafie turut mahu setiap PPM tidak hanya mementingkan parti sendiri tanpa memedulikan kerjasama daripada parti komponan lain.

"Semua parti perlu bekerjasama dengan baik tanpa mengira dan menjaga parti sendiri.

"Ini bagi memastikan prestasi kejayaan kita dapat diteruskan sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang," katanya.

Pada majlis itu, seramai 58 PPM dari setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) menerima watikah pelantikan yang disampaikan oleh Shafie.

Dua lagi kawasan DUN yang belum menerima watikah pelantikan PPM adalah Kiulu dan Kuala Penyu.

  • oleh
  • Advertisement