Anda di sini

Murray ingin kembalikan keunggulannya

Advertisement
ANDY MURRAY
ANDY MURRAY

SHENZHEN: Bekas pemain nombor satu dunia dari Britain, Andy Murray, mempamerkan semula kehebatannya pada masa lalu kelmarin apabila dia menyingkirkan pemain pilihan utama David Goffin dari Belgium dari kejohanan tenis Terbuka Shenzhen ATP 6-3, 6-4 dalam aksi pusingan 16 terakhir.

Pemain berusia 31 tahun itu mengerahkan kudrat ketika ia diperlukan - seperti Murray pada masa lalu - dengan menepis 70 peratus daripada mata-mata break dan melakukan 15 pukulan ‘ace’ dalam perlawanan menentang seorang pemain yang menduduki ranking ke-11 di dunia.

“Saya rasakan, dari segi cara saya memukul bola, ia adalah permainan saya yang terbaik, dan saya rasa saya tahu bahawa saya perlu memukul bola dengan sangat baik jika saya mahu menang,” kata Murray kemudian.

Goffin terus memberi tekanan sepanjang perlawanan, merampas mata servis daripada Murray sebanyak dua kali untuk bangkit dalam set kedua yang menarik sebelum keazaman pemain British itu menang jua akhirnya.

Tiga kali Goffin, 27, mengancam untuk merampas mata break pada kedudukan 5-4, dan tiga kali Murray menemui kemenangan untuk bangkit sebelum memenangi set itu, dan perlawanan, dengan satu pukulan ‘ace’.

“Saya amat menyukai keadaan sewaktu kami bermain,” kata Murray, pemenang Terbuka Shenzhen pertama pada 2014.

“Biasanya ia agak lembap, dan gelanggang lebih pantas sedikit berbanding keadaan yang biasa dalam jelajah,” ujarnya.

“Saya rasa seakan-akan saya dapat mengawal bola dengan sangat baik di sini.”

Dengan penyingkiran pemain pilihan utama, kejohanan ini sekarang terbuka dengan menarik bagi Murray selepas pemain pilihan kedua dari Greece, Stefanos Tsitsipas disingkirkan pada pusingan 16 terakhir oleh pemain Perancis, Pierre-Hugues Herbert, 6-3, 7-6 (7-4).

Seorang lagi pemain British, Cameron Norrie, turut menewaskan pemain pilihan dari Croatia, Borna Coric, 6-4, 7-6 (10-8) pada peringkat yang sama. — AFP

Advertisement