Anda di sini

Detik kemenangan atlet para negara

Advertisement
 Syed Saddiq (tengah) beramah mesra bersama atlet Paralimpik pada Majlis Sumbangan oleh Syarikat Korporat untuk Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Para Asia Indonesia 2018 di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, semalam. — Gambar Bernama
BERI SEMANGAT: Syed Saddiq (tengah) beramah mesra bersama atlet Paralimpik pada Majlis Sumbangan oleh Syarikat Korporat untuk Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Para Asia Indonesia 2018 di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berharap liputan media tempatan bagi temasya Sukan Para Asia 2018 di Indonesia adalah adil sepertimana di terima atlet normal negara yang beraksi di Sukan Asia 2018 baru-baru ini.

Beliau berkata pihak media tempatan juga harus membuat liputan sewaktu detik kemenangan atlet para negara seperti liputan yang telah diberikan pada atlet yang beraksi di Sukan Asia ke-18, yang berakhir awal September lalu.

“Pada masa yang sama, saya juga akan berbincang dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo untuk pastikan bahawa liputan media tempatan untuk atlet para diberikan dengan adil dan sama seperti liputan Sukan Asia.

“Kepada rakyat Malaysia, saya juga berharap semua dapat menonton dan menyokong atlet para kita kerana satu pingat emas yang disumbangkan oleh mereka, sama sahaja seperti pingat emas di Sukan Asia,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas majlis  penyerahan  sumbangan untuk  kontinjen  negara ke Sukan Para Asia.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata sasaran pingat bagi temasya Sukan Para Asia kali ketiga itu hanya akan diumumkan pada 1 Oktober ini.

“Sasaran sebenar kontinjen negara akan diumumkan minggu depan (1 Okt) selepas majlis penyerahan bendera Jalur Gemilang kepada kontinjen negara yang akan turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri  Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menerima hampir RM300,000 sumbangan daripada sembilan syarikat korporat sebagai tanda sokongan untuk atlet para negara menghadapi Sukan Para Asia Indonesia yang akan bermula pada 6 hingga 13 Oktober ini.

Sembilan syarikat berkenaan ialah Tune Talk, Yayasan Usahawan Negara, Bata Primavera Sdn Bhd, Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd, Maraliner Sdn Bhd, GNT Medixel Sdn Bhd, F&N Beverages Sdn Bhd dan Naza Corporation Holdings.

“MPM amat terharu melihat sokongan yang diberikan kepada atlet para negara dan berharap agar semua pihak akan terus menyokong dan penajaan ini memberi banyak makna buat kami dalam meneruskan usaha untuk membangunkan atlet para,” kata presidennya, SM Nasarudin SM Nasimudin. — Bernama

Advertisement