Anda di sini

SIMBC 2018-AMS paling lumayan

Advertisement
 (Dari tiga kiri) Benjamin, Abang Wahap dan tetamu lain bersama memegang bebola kaca untuk menayangkan video rasmi SIMBC 2018-AMS.
PELANCARAN: (Dari tiga kiri) Benjamin, Abang Wahap dan tetamu lain bersama memegang bebola kaca untuk menayangkan video rasmi SIMBC 2018-AMS.

KUCHING: Hadiah keseluruhan berjumlah RM78,000 menjadi rebutan peserta Cabaran Mountain Bike Antarabangsa Siol 2018–Siri Mountain Bike Asia (SIMBC 2018-AMS) dijadual berlangsung dari 9 hingga 11 November akan datang di kaki Bukit Siol, Jalan Semariang.

Menurut Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai, edisi di Sarawak adalah ketujuh daripada sembilan siri yang diadakan di beberapa negara Asia seperti Jepun, Filipina, Indonesia, Brunei Darussalam dan Sabah.

Jelasnya, DBKU sebagai penganjur menyasarkan lebih ramai pelumba termasuk dari luar negara mengambil bahagian dalam 10 kategori dipertandingkan.

“Dalam cabaran Cross Country (XCO), tujuh kategori dipertandingkan iaitu Lelaki dan Wanita Elit (19 tahun ke atas), UCI Lelaki dan Wanita Junior Siri Dunia (17 dan 18 tahun), Lelaki Master A (30 hingga 40 tahun), Lelaki Master B (41 tahun ke atas) serta Tertutup Sarawak.

“Para peserta perlu berbasikal sejauh 4.2 kilometer bagi cabaran XCO,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Manakala dalam cabaran downhill, terdapat tiga kategori dipertandingkan iaitu Lelaki dan Wanita Elit (17 tahun ke atas) serta Lelaki Master (30 tahun ke atas) dengan cabaran membabitkan laluan sepanjang 740 meter.

“Cabaran ketiga ialah team relay (XCR) yang menawarkan Piala Datuk Bandar. Kita menjangkakan lebih ramai peserta kerana SIMBC-AMS pada kali ini menawarkan paling banyak hadiah wang tunai dalam Siri Asia,” kata beliau.

Katanya, berdasarkan penyertaan pada tahun 2016, lebih 200 peserta dari Thailand, Brunei Darussalam, Indonesia, Filipina, Jepun, India, Singapura malah Portugal mengambil bahagian.

“Antara objektif penganjuran cabaran ini sudah tentunya menarik pelancong domestik dan asing mengunjungi bandar raya Kuching.

“Ini adalah usaha kita untuk mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan sukan,” ujarnya.

Hanya hadiah bagi kategori Tertutup Sarawak dan ‘team relay’ dibayar dalam mata wang ringgit manakala pemenang bagi kategori lain akan dibayar dalam matawang Euro.

Hadir sama Presiden Persatuan Berbasikal Sarawak Datuk Benjamin Hasbie.

  • oleh
  • Advertisement