Anda di sini

Real dan Barca harungi malam mengejutkan

Advertisement
 Benzema (kanan) diasak hebat oleh dua pemain Sevilla ketika beraksi pada perlawanan La Liga di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan, Seville Rabu lepas. — Gambar Reuters
DIKAWAL KETAT: Benzema (kanan) diasak hebat oleh dua pemain Sevilla ketika beraksi pada perlawanan La Liga di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan, Seville Rabu lepas. — Gambar Reuters

MADRID, Sepanyol: Barcelona bolos dua gol dalam tempoh 68 saat sementara Real Madrid ketinggalan 0-3 pada masa rehat ketika dua gergasi bola sepak Sepanyol dan pilihan juara La Liga Sepanyol, mengharungi malam mengejutkan dengan kekalahan pertama mereka dalam liga Rabu lepas.

Kekalahan 1-2 Barcelona kepada kelab tercorot, Leganes, adalah lebih mengejutkan tetapi kekalahan Real tidak diduga selepas tewas 0-3 kepada Sevilla, yang ‘mengganas’ sepanjang 39 minit pertama di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan.

Bagi kedua-dua pasukan, ia adalah kekalahan pertama mereka musim ini dan juga kesilapan benteng pertahanan menjadi punca, yang pastinya merupakan kebimbangan utama menjelang perlawanan kedua Liga Juara-Juara minggu hadapan.

Sehari sebelum itu, Atletico Madrid mencipta kemenangan selesa ke atas Huesca dan merupakan lawan Real Sabtu ini untuk bangkit dari permulaan buruk mereka musim ini. Jika Atletico menewaskan kelab jirannya, Real, mereka akan memintas kedudukan Real dalam liga.

Sevilla boleh menjadi lawan yang sukar kepada mana-mana lawan tetapi tidak ramai menjangkakan Leganes boleh memberikan kekalahan liga yang kedua buat Barcelona dalam tempoh 17 bulan.

“Kami berada dalam situasi yang sangat sukar dan ia juga tidak dijangkakan,” kata jurulatih Barca, Ernesto Valverde.

Gerard Pique melakukan kesilapan besar yang membolehkan Oscar Rodriguez menjaringkan gol kemenangan Leganes, seminit selepas Nabil El Zhar mengikat kedudukan untuk menjadikan gol pembukaan Barca oleh Philippe Coutinho sebagai gol saguhati.

Selepas seri dengan Girona Ahad lepas, pemilihan skuad oleh Valverde bakal menjadi persoalan selepas beliau memilih untuk merehatkan pemain utama untuk perlawanan kedua berturut-turut.

Ketika menentang Girona, Coutinho, Ivan Rakitic dan Samuel Umtit bermula di bangku simpanan dan hanya diturunkan dalam separuh masa kedua, dengan Luis Suarez dan Jordi Alba bermula di bangku simpanan Rabu lepas.

“Sudah tentu ia tanggungjawab jurulatih, mereka sentiasa rasa bertanggungjawab apabila pasukan kalah,” kata Valverde.

“Tetapi ia sememangnya mudah untuk bercakap tentang penggiliran pemain sekarang – pada akhirnya, perlawanan dinilai berdasarkan keputusan tetapi anda tidak dapat memenangi liga dengan hanya sebelas pemain.”

Barcelona akan menentang Athletic Bilbao Sabtu ini sebelum bertandang ke Tottenham Hotspur dalam aksi Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu tetapi satu mata dari dua lawan yang lemah pastinya membimbangkan.

Dan begitu juga prestasi Pique, yang juga melakukan kesilapan ketika menentang Girona minggu lepas dan harus diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Spurs dengan Umtiti digantung untuk perlawanan di Eropah.

“Anda harus menilai keseluruhan pasukan, bukan pemain secara individu,” kata pemain tengah Barca, Sergio Busquets.

“Tiada sebarang alasan. Kami harus mengurangkan gol bolos dan lebih kebal di benteng pertahanan. Hari ini bukan kekalahan dalam saingan liga tetapi hanya terlepas tiga mata.”

Real Madrid memulakan sepak mula perlawanan ketika perlawanan Barca-Leganes menghampiri penamat dan kemenangan membolehkan mereka menjarakkan kedudukan dengan tiga mata berbanding Barca di singahsana liga tetapi sebaliknya, mereka ketinggalan 0-3 pada masa rehat, kali pertama ia berlaku dalam perlawanan liga sejak 2003 dan ironinya, ia juga ketika menentang Sevilla.

Dua kali Jesus Navas melancarkan serangan pantas dan dua kali juga beliau mengumpan bola kepada Andre Silva untuk menjaringkan gol sebelum Wissam Ben Yedder menjadikan kedudukan 3-0, enam minit sebelum rehat.

“Kami mengharungi separuh masa pertama yang buruk,” kata jurulatih Real, Julen Lopetegui.

“kami harus bangkit kerana kami mempunyai perlawanan penting Sabtu ini.” — AFP

Advertisement