Anda di sini

Letupan bunuh lapan askar di utara Burkina Faso

Advertisement

OUAGADOUGOU: Lapan askar maut dalam satu letupan di utara Burkina Faso kelmarin, dalam tamparan terbaharu kepada negara Sahel yang miskin dan bergelut dengan pelampau jihad itu.

“Saya baharu dimaklumkan bahawa lapan askar Burkinabe terkorban selepas kenderaan mereka terkena bom periuk api buatan sen-diri oleh musuh rakyat kita,” Presiden Roch Marc Christian Kabore menyebut dalam satu kenyataan.

Konvoi itu sedang dalam perjalanan dari Baraboule di wilayah Soum ke bandar Djibo.

“Kenderaan utama dalam konvoi itu melanggar bom periuk api” ketika ia melepasi sebuah jambatan, kata sumber keselamatan kepada AFP.

Kabore mengucapkan “tak-ziah yang paling mendalam kepada pasukan keselamatan dan pertahanan, kepada keluarga dan saudara-mara mangsa”.

“Serangan yang kejam oleh pengecut ini tidak akan melemahkan keazaman kita yang sama untuk mempertahankan integriti wilayah negara kita, memulihkan keamanan dan keselamatan demi kebahagiaan dan kemakmuran rakyat Burkinabe.”

Pada 2015, Burkina Faso, salah sebuah negara paling miskin di dunia, menyertai beberapa negara dalam rantau Sahel yang menerima tekanan daripada pelampau jihad.

Pemberontak mula melancarkan serangan merentasi sempadan di utara negara dari negara jiran Mali.

Dengan menggunakan taktik gerila yang klasik, pemberontak menyasari polis dan tentera dengan serangan senjata api dan bom tepi jalan, menyerang bangunan dan kakitangan yang dianggap mewakili kerajaan, selain menculik individu.

Bilangan yang dikeluarkan pada April lalu mendapati 133 orang telah maut di utara dalam 80 serangan dalam tempoh tiga tahun, kebanyakannya pegawai kerajaan.

Ratusan sekolah dan dewan perbandaran sudah ditutup.

Pada Ahad lepas, tiga pelombong – seorang warga Burkinabe, seorang warga India dan seorang warga Afrika Selatan – diculik oleh lelaki bersenjata antara Djibo dan sebuah lombong emas tempatan.

Beberapa jam kemudian, tiga anggota polis yang di-kerahkan untuk membantu mencari tiga mangsa itu maut dalam pertelingkahan dengan lelaki bersenjata di Tongomael, kira-kira 30 kilometer dari sana.

Pada Ogos lepas, 13 orang di utara maut dalam letupan dua bom yang diubahsuai, manakala seorang pegawai kastam maut dalam satu serbuan.

Strategi pelampau jihad di utara kini sudah digunakan di timur negara. Di bahagian tengah, ibu kota Ouagadougou sudah mengalami tiga serangan pengganas dalam tempoh dua tahun, yang mengorbankan 60 orang.

Pada 8 September lepas, Kabore berkata langkah ke-selamatan tambahan akan di-umumkan tidak lama lagi “untuk menghapuskan sumpahan terorisme”. — AFP

Advertisement