Anda di sini

Suami isteri cedera, kenderaan polis berlanggar dengan dua kereta

Advertisement
KEADAAN di lokasi kejadian selepas kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk kenderaan polis, kereta jenis kompak dan sedan di Jalan Kapayan.
KEADAAN di lokasi kejadian selepas kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk kenderaan polis, kereta jenis kompak dan sedan di Jalan Kapayan.

KOTA KINABALU: Sepasang suami isteri mengalami kecederaan selepas kenderaan yang dinaiki terbabit kemalangan dengan kenderaan polis dan sebuah kenderaan lain di Jalan Kapayan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), awal pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abdul Rakman berkata kedua-dua mangsa masing-masing berumur 33 dan 39 tahun kini sedang dirawat di Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan berada dalam keadaan stabil.

"Hasil siasatan polis di lokasi mendapati kenderaan polis ketika itu dalam perjalanan menuju ke Jalan Lintas dari arah pusat bandar kira-kira jam 7.15 pagi.

"Semasa berada di lampu isyarat LTAKK, sebuah kenderaan kompak berhenti secara tiba-tiba menyebabkan anggota polis menghalakan kenderaan ke arah kiri bagi mengelakkan dari melanggar kereta berkenaan.

"Tindakan anggota itu bagaimanapun menyebabkan kenderaan polis berpusing sebelum terbabas ke jalan bertentangan sebelum melanggar dua kenderaan lain iaitu kereta jenis kompak yang dinaiki mangsa dan sebuah lagi kereta sedan lain," katanya.

Menurutnya impak pelanggaran menyebabkan seorang wanita mengalami kecederaan di bahagian leher manakala suaminya yang juga seorang pegawai polis cedera di bahagian muka manakala kenderaan polis dan kereta sedan mengalami kerosakan.

"Kedua-dua mangsa yang cedera dihantar ke hospital bagi menerima rawatan selanjutnya," katanya sambil menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu.

  • oleh
  • Advertisement