Anda di sini

Kakitangan awam disaran permudah urusan dengan orang awam

Advertisement
 Muhammad Safian (tengah) mendengar penerangan daripada Hamilye (kanan) ketika melawat pameran selepas merasmikan Seminar Pemerkasaan Integriti Negeri Pahang, Kuantan semalam. — Gambar Bernama
INGIN TAHU: Muhammad Safian (tengah) mendengar penerangan daripada Hamilye (kanan) ketika melawat pameran selepas merasmikan Seminar Pemerkasaan Integriti Negeri Pahang, Kuantan semalam. — Gambar Bernama

KUANTAN: Penjawat awam di negeri ini perlu mempermudahkan urusan orang ramai setiap kali mereka berurusan dengan jabatan kerajaan bagi mengelak berlaku penyelewengan dan salahguna kuasa.

Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail apabila perkara itu diamalkan, secara langsung peluang melakukan penyelewengan, salahguna kuasa akan berkurangan dan mampu meningkatkan tahap integriti.

“Contohnya, Pihak Berkuasa Tempatan, apabila orang minta lesen nak buka kedai runcit, satu hari kelulusan sudah mencukupi. Tak payah nak tunggu lama dengan syarat yang macam-macam, itu boleh menimbulkan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa, rasuah dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat pada Seminar Pemerkasaan Integriti Negeri Pahang kepada penjawat awam negeri di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Penyelaras Program Kordinasi dan Pematuhan Institut Integriti Malaysia Hamily Sham Harun berkata, berdasarkan kajian perspektif Integriti nasional oleh nstitut Integriti Malaysia menunjukkan penyediaan perkhidmatan awam di negara ini berada pada paras yang baik.

“Setiap tahun kita ada melakukan kajian dengan menemuramah orang ramai terhadap prestasi memerangi jenayah rasuah, melihat kualiti penyampaian perkhidmatan awam, menilai tadbir urus kepada sektor swasta, institusi keluarga dan komuniti dan kualiti hidup setiap masyarakat.

“Pada tahun 2017 berdasarkan indeks kajian ke atas 20,000 individu yang ditemuramah empat daripada lima persoalan yang diberikan itu telah memberi respon yang baik iaitu melebihi tahap minimum 100 peratus bagi setiap respon yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata indeks memerangi jenayah rasuah bagaimanapun masih belum mencapai tahap yang memuaskan iaitu mendapat respon di bawah paras minimum.

Bagi meningkatkan indeks berkenaan, pelbagai usaha dilakukan dengan memperkasakan integriti dalam kalangan penjawat awam antaranya seminar integriti, katanya. — Bernama

Advertisement