Anda di sini

BN boikot, tidak letak calon di PRK Port Dickson

Advertisement
 


KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan memboikot serta tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, kata Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (gambar).

Presiden UMNO itu berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan parti komponen BN iaitu MCA dan MIC.

Katanya tindakan memboikot itu dilakukan kerana BN menganggap kerusi Parlimen berkenaan  dikosongkan semata-mata bagi memenuhi cita-cita politik Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

“Sesuatu PRK itu diadakan untuk terjemahkan erti demokrasi bagi memenuhi kerusi setelah  kematian berlaku, maka tentu kita mahu lihat bahawa penyertaan dalam menterjemah proses demokrasi itu harus berjalan.

“Tetapi jika kerusi itu dikosongkan bukan atas sebab kematian, maka pertimbangan harus dilakukan BN,”  katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Biro Politik UMNO di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata peruntukan bagi PRK berkenaan seharusnya disalurkan kepada rakyat memandangkan kerajaan dikatakan dihimpit masalah kewangan.

Ditanya sama ada UMNO akan membantu PAS sekiranya parti itu meletakkan calon, Ahmad Zahid berkata kedua-dua parti tidak mempunyai rundingan muktamad untuk bekerjasama dalam hal itu.

“Kita tidak ada sebarang rundingan secara muktamad tetapi ia berdasarkan ‘case to case basis’ dan ‘event to event basis’ seperti di PRK Sungai Kandis atau di Seri Setia,” katanya.

Katanya parti itu juga tidak akan menyokong atau membantu mana-mana calon bebas yang bertanding pada pilihan raya berkenaan.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, untuk membolehkan Anwar bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Port Dickson pada 13 Okt depan manakala hari penamaan calon ditetapkan Sabtu ini dan pengundian awal 9 Okt.

Sementara itu ditanya mengenai keputusan Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee yang keluar parti hari ini, Ahmad Zahid menjawab ringkas: “selamat berjaya”.

Mengulas mengenai kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berhubung kerjasama UMNO dengan PAS, beliau berkata ia merupakan kerjasama antara parti pembangkang, dan bukannya untuk mewujudkan satu gabungan.

-- Bernama 

Advertisement