Anda di sini

Hollande cetus kontroversi di India beli jet pejuang Rafale

Advertisement
 Gambar fail ini diambil pada 9 Jun 2018 menunjukkan sebuah jet pejuang Rafale dari tentera laut Perancis beraksi semasa pertunjukan kapal terbang antarabangsa di Biscarrosse, barat daya Perancis. Hollande kelmarin telah mencetuskan kontroversi berhubung pembelian 36 jet pejuang Rafale bernilai berbilion dolar oleh India pada 2016. — Gambar AFP
JADI ISU: Gambar fail ini diambil pada 9 Jun 2018 menunjukkan sebuah jet pejuang Rafale dari tentera laut Perancis beraksi semasa pertunjukan kapal terbang antarabangsa di Biscarrosse, barat daya Perancis. Hollande kelmarin telah mencetuskan kontroversi berhubung pembelian 36 jet pejuang Rafale bernilai berbilion dolar oleh India pada 2016. — Gambar AFP

NEW DELHI: Bekas presiden Perancis Francois Hollande telah mencetuskan kontroversi berhubung pembelian 36 jet pejuang Rafale bernilai berbilion dolar oleh India pada 2016, dengan menyatakan Perancis tidak diberi pilihan lain mengenai rakan untuk syarikat pembuatan Dassault di India.

Kenyataan yang beliau buat kelmarin mencetuskan perdebatan mengenai subjek yang telah mendapat perhatian yang signifikan di India beberapa minggu lalu, sejak pembangkang parti Kongres menuduh Perdana Menteri Narendra Modi lebih memihak kepada sebuah konglomerat swasta daripada sebuah syarikat awam dalam perjanjian pesawat berkenaan.  

Parti itu mendakwa Modi memberikan layanan istimewa kepada tokoh perindustrian Anil Ambani, pengerusi bilionair Kumpulan Reliance, dan mengetepikan Hindustan Aeronautics Limited (HAL) yang diurus oleh kerajaan.

Pegawai di India dan Perancis berkata Dassault telah memilih secara bebas bekerjasama dengan Reliance, walaupun Ambani tidak ada pengalaman sebelum ini dalam sektor aeronautik.

“Kami tidak ada suara dalam perkara itu,” kata Hollande dalam laman sesawang siasatan Mediapart.

“Ia adalah kerajaan India yang mencadangkan kumpulan perkhidmatan ini (Reliance), dan Dassault yang berunding dengan Ambani.

“Kita tidak ada pilihan, kita menerima pembicara yang diberikan kepada kami,” ujar Hollande, yang menjadi presiden Perancis daripada 2012-2017.

Syarikat Perancis, Dassault, menghabiskan masa bertahun-tahun untuk berunding mengenai satu perjanjian bagi 126 jet pejuang yang akan dibuat di India bersama HAL, tetapi rundingan sudah tergendala.

Ketika mula memegang kuasa, kerajaan Modi membatalkan rundingan dan memutuskan untuk membeli secara terus 36 jet yang dibuat di Perancis.

Hollande menafikan sebarang konflik kepentingan dengan Reliance, yang membiayai sebahagian daripada sebuah filem yang diterbitkan oleh teman wanitanya Julie Gayet pada 2016.

“Selain itu, itulah sebabnya kenapa kumpulan ini (Reliance) tidak perlu memberikan ucapan terima kasih kepada saya bagi apa-apa. Saya malah tidak dapat membayangkan sebarang hubungan dengan sebuah filem daripada Julie Gayet.”

Bercakap kepada AFP di acara sampingan pada satu mesyuarat di Kanada kelmarin, bekas pemimpin Perancis itu menegaskan Perancis “tidak memilih Reliance sama sekali”.

Apabila ditanya sama ada India telah memberi tekanan kepada Reliance dan Dassault unuk menjalin kerjasama, Hollande berkata beliau tidak tahu dan “hanya Dassault sahaja yang dapat mengulas mengenai perkara ini”.

Ketika dihubungi AFP, kedutaan Perancis di New Delhi tidak mahu mengulas.

Kementerian Pertahanan India menulis dalam Twitter bahawa kerajaan India mahupun kerajaan Perancis “tidak ada suara dalam keputusan komersil”.

Kementerian Luar Perancis kemudian mengeluarkan satu kenyataan yang menyebut “kewajipan tunggal kerajaan Perancis adalah untuk menjamin penyampaian dan kualiti peralatan”.

Paris “sama sekali tidak terbabit dalam pemilihan rakan perindustrian di India”, ujarnya.

Dassault Aviation pula menyebut dalam satu kenyataan kelmarin bahawa kontrak itu dalah “satu perjanjian kerajaan dengan kerajaan”.

Presiden Kongres Rahul Gandhi, yang telah mengetuai fokus pembangkang kepada perjanjian itu, menulis: “Terima kasih kepada Francois Hollande, kita sekarang tahu beliau (Modi) sendiri menyampaikan perjanjian bernilai berbilion dolar kepada Anil Ambani yang bankrap.

“PM telah mengkhianati India. Dia telah memalukan darah askar-askar kita,” ujar Gandhi.

Syarikat pembuatan asing yang memperolehi kontrak senjata di India wajib melabur semula sebahagian daripada jumlah yang dikumpul di India.

Di bawah perjanjian Rafale, Perancis mesti membelanjakan jumlah sebanyak setengah daripada lapan bilion euro (RM37.6 bilion) yang dibayar oleh kerajaan India.

Dassault sudah melabur lebih 100 juta euro (RM470 juta) dalam usaha sama dengan Reliance.

India pengimport pertahanan terbesar di dunia telah melabur puluhan bilion dolar untuk menaik taraf perkakasan ketenteraan era Soviet bagi menangani pertikaian wilayah sejak sekian lama dengan dengan jirannya yang memiliki senjata nuklear, termasuk China yang semakin kuat.

Ia berhasrat untuk menggunakan bayaran ganti rugi seperti di dalam perjanjian Rafael untuk mewujudkan industri pertahanan tempatan. — AFP

Advertisement