Anda di sini

Hasrat terkubur, ditipu

Advertisement
STANLEY
STANLEY

SIBU: Seramai sepuluh individu yang dipercayai cuba mendapatkan lesen memandu dengan cara mudah, bukan sekadar menyaksikan hasrat mereka terkubur, malah mengalami kerugian selepas ditipu seorang lelaki.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, kesemua mangsa yang berumur antara 20 dan 60 tahun ditipu secara berasingan selepas membuat pembayaran ke atas lesen memandu yang tidak wujud kepada suspek dengan kerugian keseluruhan sebanyak RM5,370.

“Kesemua mangsa yang terjerat dijanjikan untuk mendapatkan lesen memandu selepas mereka membuat bayaran kepada suspek,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut beliau, seorang pemandu lori, 29, mengalami kerugian sebanyak RM1,500 untuk mendapatkan lesen memandu treler bersendi pada Ogos 2018.

“Suspek memberitahu pemandu lori terbabit bahawa dia perlu membayar wang pendahuluan sebanyak RM1,500 dan tidak perlu menghadiri kelas dan litar, cuma perlu menghadiri latihan dan ujian litar dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sahaja,” katanya.

Stanley berkata, pengadu tersebut membuat dua kali pembayaran iaitu RM800 dan RM700 secara tunai serta diberi resit yang ditandatangani atas nama suspek sendiri.

Bagaimanapun katanya, sehingga sekarang pengadu masih belum mendapat lesen treler bersendi sekali gus memaksanya tampil membuat laporan polis, Rabu lepas.

Menurut Stanley lagi, sembilan individu lain yang dipercayai ditipu suspek sama juga tampil membuat laporan polis di sini, termasuk tiga kes dilaporkan di IPD Kanowit.

Katanya, suspek juga dipercayai menipu lima individu yang buta huruf, antaranya buruh, petani dan pembantu kedai untuk mendapatkan lesen motosikal Kelas B2.

“Selepas menunggu selama tujuh bulan, mereka membuat semakan di institut memandu berkenaan dan mendapati nama mereka tidak pernah didaftarkan untuk permohonan mendapatkan lesen,” kata Stanley sambil menambah mereka masing-masing mengalami kerugian RM430.

Katanya, pengadu selebihnya termasuk dua suri rumah dan seorang tukang sembur dari Kanowit yang ditawarkan untuk mendapatkan lesen B2 secara mudah.

Mereka juga gagal menghubungi suspek selepas membuat pembayaran kepada lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai pengajar memandu dari sebuah institut memandu di Sibu.

Stanley berkata, suspek yang telah dikenal pasti kini sedang dikesan oleh pihak polis.

“Kes-kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” tambah beliau.

  • oleh
  • Advertisement