Anda di sini

Bomba Sabah mahu jadikan pasukan MOSAR bertaraf dunia

Advertisement

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah bercadang menjadikan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu atau MOSAR  sebagai satu pasukan mencari dan menyelamat gunung bertaraf dunia.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah dan Penolong Ketua Pengarah Jabatan Bomba (PKPjB) Mohd Nordin Pauzi yang akan melepaskan jawatannya itu berkata hasrat berkenaan sesuai dengan kedudukan Gunung Kinabalu sebagai destinasi pelancongan terkenal  di seluruh dunia serta memerlukan pasukan penyelamat bertaraf dunia.

“Pasukan ini akan dimantapkan dengan latihan dan peralatan dan sebagainya... sebagaimana pengiktirafan kerajaan kepada pasukan ini dengan pemberian elaun tetap sebanyak RM200 setiap anggota (sebulan), sebagai timbal balas, pasukan ini perlu menunjukkan prestasi yang tinggi seiring dengan pengiktirafan dunia terhadap Gunung Kinabalu itu sendiri.

“Gunung Kinabalu ini mendapat pengiktirafan dunia, dikunjungi pengunjung-pengunjung dari seluruh dunia. Jadi Jabatan Bomba juga akan menyediakan pasukan ini dengan kemudahan-kemudahan tertentu yang setimpal dan bertaraf dunia,” katanya kepada pemberita pada majlis serah dan terima jawatan pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah di sini, semalam.

Pada majlis itu, Nordin menyerahkan jawatan sebagai pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah kepada PKPjB Kamarulzaman Malik Abdullah. Nordin yang berkhidmat selama tujuh tahun di Sabah dilantik sebagai Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur.

Menurut Nordin pihaknya telah membuat pembelian pelbagai peralatan seperti pengusung dan  peralatan tali penyelamat selain menubuhkan Pusat Kecemerlangan di Balai Bomba dan Penyelamat Ranau untuk dijadikan pusat latihan bagi anggota pasukan MOSAR.

Katanya 40 anggota MOSAR yang ada akan menjalani latihan sebanyak dua kali seminggu di pusat itu termasuk latihan menyelamat, latihan menggunakan tali, latihan Perkhidmatan Kecemasan Perubatan  dan Menyelamat (EMRS) dan teknik penyelamatan di aras tinggi.

Nordin yakin pasukan MOSAR apabila mendapat kerjasama yang baik daripada pelbagai agensi termasuk Taman-Taman Sabah, akan mencapai prestasi lebih tinggi.

“Pihak bomba berterima kasih kepada pihak Taman-Taman Sabah kerana menyediakan satu bilik khas, dilengkapi 14 katil, kepada anggota MOSAR di Laban Rata, selain sebagai penempatan anggota dan juga sebagai tempat menyimpan peralatan pasukan MOSAR,” katanya. — Bernama

Advertisement