Anda di sini

Bomba bergelut kawal kebakaran, angin kuat sukarkan operasi

Advertisement
Bomba berhempas pulas memadamkan kebakaran daripada terus merebak ke stor di
Bomba berhempas pulas memadamkan kebakaran daripada terus merebak ke stor di Jalan Dik Lik Kong, malam tadi.
 

SIBU: Tiupan angin kuat mencabar kudrat 16 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) untuk memadamkan kebakaran kilang kayu yang merebak ke stor penyimpanan mercun di Lorong 31A, Jalan Dik Lik Kong, sekitar pukul 10.30 malam tadi.

Komander Operasi Alimat Sam berkata kebakaran di kilang kayu masih marak sehingga jam 12 tengah malam, namun keadaan api yang merebak ke stor mercun terkawal walaupun pasukan pemadam berdepan kesukaran untuk masuk ke dalam stor mercun yang berkunci dari dalam.

Kilang kayu terbabit dikatakan sudah merebak 60 peratus apabila pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sg Merah diketuai Joseph Balon tiba di lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.32 malam. Mereka turut dibantu anggota dari BBP Sibu yang diketuai Yusuf Tar.

Api kemudian dikatakan merebak ke stor penyimpanan mercun yang terletak bersebelahan kilang tersebut, akibat keadaan angin kuat menjejaskan kerja-kerja pemadaman di lokasi.

Sehingga berita ditulis, api masih marak pada 12.36 tengah malam dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
 

  • oleh
  • Advertisement