Anda di sini

Isu perpaduan sentiasa jadi keutamaan kerajaan

Advertisement
 Sebahagian murid-murid Tadika Jabatan Perpaduan Negara dan Integriti Nasional Tawau turut mengambil bahagian dalam perbarisan sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Perbandaran Tawau, semalam. — Gambar Bernama
TURUT SERTA: Sebahagian murid-murid Tadika Jabatan Perpaduan Negara dan Integriti Nasional Tawau turut mengambil bahagian dalam perbarisan sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Perbandaran Tawau, semalam. — Gambar Bernama

TAWAU: Isu perpaduan tetap dan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dalam memastikan keharmonian kaum berkekalan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Christina Liew berkata kerajaan negeri tidak pernah jemu berusaha memupuk semangat setia kawan serta perpaduan dalam kalangan rakyat majmuk Malaysia.

“Kita adalah rakyat Malaysia, walaupun berbeza nama, agama, dan budaya tetapi sifat hormat menghormati, saling percaya mempercayai, bertoleransi serta bermuafakat adalah antara kunci kejayaan serta kemakmuran yang kita nikmati pada hari ini,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata demikian ketika berucap pada majlis perbarisan sempena Hari Malaysia peringkat perbandaran Tawau di sini, semalam.

Beliau berkata kemerdekaan yang dicapai bukanlah sesuatu yang mudah, walaupun diperoleh tanpa melibatkan pertumpahan darah.

“Justeru itu, marilah kita berganding bahu melangkah serentak menuju ‘Gunung yang tinggi sama didaki, lurah yang dalam sama dituruni maka jadilah warganegara patriotik yang menjunjung tinggi perlembagaan negara dan berpegang teguh kepada prinsip Rukun Negara,” katanya lagi.

Sementara itu Christina berkata Tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu ‘Sayangi Malaysiaku’ mencerminkan roh kesepaduan, kesefahaman, kekitaan dan kemanusiaan seluruh rakyat di negara ini.

“Saya mengharapkan agar kita semua dapat terus hidup dalam kepelbagaian, harmoni, bersatu padu dan terpahat perasaan kasih sayang yang kukuh kepada Malaysia bertepatan dengan tema sambutan,” katanya. — Bernama

Advertisement