Anda di sini

Sangari fasih ‘Jako Iban’

Advertisement
 G Sangari, 25, menjejakkan kaki di Bumi Kenyalang kira-kira lima tahun lepas untuk melanjutkan pengajian dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) selama empat tahun dan kini beliau bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat pengeluar produk logam di Bintulu. — Gambar Bernama
PENGALAMAN: G Sangari, 25, menjejakkan kaki di Bumi Kenyalang kira-kira lima tahun lepas untuk melanjutkan pengajian dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) selama empat tahun dan kini beliau bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat pengeluar produk logam di Bintulu. — Gambar Bernama

 ‘AKU ka madah, aku ka ngucap Selamat Hari Malaysia enggau Selamat Hari Kemerdekaan ngagai semua rakyat Malaysia. Agi Idup Agi Ngelaban!’ (Saya ingin beritahu dan hendak mengucapkan Selamat Hari Malaysia dan Selamat Hari Kemerdekaan kepada seluruh rakyat Malaysia. Selagi ada hayat, selagi itu berjuang!)

Kelancaran bahasa Iban yang dituturkan G. Sangari, gadis berketurunan India kelahiran Klang, Selangor, mengejutkan penulis, ketika bertemunya buat pertama kali baru-baru ini.

Sangari, 25, menjejakkan kaki di Bumi Kenyalang kira-kira lima tahun lepas untuk melanjutkan pengajian dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) selama empat tahun. Selepas itu, beliau bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat pengeluar produk logam di Bintulu.

“Saya akui ketika membuat keputusan untuk melanjutkan pelajaran di UNIMAS selepas Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, ada sedikit kegusaran terutamanya tentang penerimaan masyarakat di sini kerana majoriti kaum di sini ialah Iban, Melayu dan Cina sedangkan India agak kurang.

“Namun, masyarakat di Sarawak sangat mesra, mereka melayani saya dengan sangat baik. Keadaan negeri ini yang aman dan tenang, tiadanya kesesakan lalu lintas yang teruk membuatkan saya selesa tinggal di sini,” katanya.

FAHAMI BUDAYA

Sangari, anak kedua daripada tiga beradik, berkata beliau tidak mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran di negeri ini.

Sebaik memulakan pengajian di UNIMAS, beliau berusaha memahami adat, budaya, makanan serta bahasa di Sarawak.

“Bagi saya, perbezaan ketara adalah kepelbagaian etnik, makanan juga ada kelainannya. Begitu juga budaya masyarakat di sini yang unik dan istimewa.

“Bahasa Melayu di sini juga ada kelainan dengan penggunaaan ayat serta perkataan baku...bahasa Iban adalah antara bahasa perantaraan utama di sini,” katanya yang mengakui berdepan kesukaran untuk bertutur dialek Melayu Sarawak sebelum ini.

Namun, Sangari berusaha mempelajari dialek berkenaan dan ‘jako Iban’ (cakap Iban) sehingga fasih dan kini, sering dipilih menjadi pengacara majlis anjuran syarikat majikannya.

Rakan-rakannya yang berketurunan Iban banyak membantunya mempelajari bahasa itu.

“Saya mendengar dahulu cara sebutan setiap perkataan dan kemudian berlatih...sedikit demi sedikit saya faham dan seterusnya mampu bertutur dalam bahasa Iban.

“Saya masih ingat lagi, perkataan Iban pertama yang saya belajar ialah ‘makai’ (makan),” katanya.

ELAKKAN ANDAIAN  

Selepas lima tahun menetap di Sarawak, gaya dan pertuturan Sangari seperti masyarakat Sarawak dengan perbualannya sering diselang seli menggunakan bahasa Melayu Sarawak dan bahasa Iban.

Sayangnya kepada negeri ini juga menyebabkan Sangari memilih bekerja di Sarawak walaupun pernah mendapat tawaran bekerja di negeri lain.

“Saya sudah biasa tinggal di sini, belum terlintas untuk pulang bekerja di Semenanjung,” katanya.

Jurutera muda itu juga meminta masyarakat umum supaya tidak membuat sebarang andaian selagi belum menjejakkan kaki di negeri ini.

Selain budaya dan adat resam, katanya, banyak yang boleh dipelajari di Sarawak terutamanya tentang perpaduan dan toleransi antara kaum. — Bernama

  • oleh
  • Advertisement