Anda di sini

Wushu sumbang tujuh pingat hari terakhir

Advertisement
 Menteri Muda Belia dan Sukan merangkap Chef-De-Mission, Datuk Snowdan Lawan merakamkan gambar kenangan bersama empat atlet terawal menerima pingat pagi semalam.
GEMBIRA: Menteri Muda Belia dan Sukan merangkap Chef-De-Mission, Datuk Snowdan Lawan merakamkan gambar kenangan bersama empat atlet terawal menerima pingat pagi semalam.

GOPENG: Skuad wushu terus mengharumkan nama Sarawak dengan menghadiahkan tujuh lagi pingat pada pertandingan hari terakhir wushu di Kolej Matrikulasi Gopeng di sini, semalam.

Kecemerlangan berterusan dipamer skuad wushu apabila berjaya meraih tiga pingat emas, satu perak dan tiga gangsa.

Pingat emas disumbangkan oleh Elvic Bong Qian Zheng selepas berjaya mengumpul 9.57 mata bagi kategori Qiangshu Lelaki.

Kejayaan terus terserlah dengan emas kedua disumbangkan oleh Audrey Chan Yee Jo yang berjaya meraih 9.56 mata bagi kategori Taijijian Wanita.

Manakala, emas ketiga skuad wushu dihadiahkan oleh Clement Ting Su Wei dengan memperolehi 9.63 jumlah mata tertinggi bagi kategori Daoshu Lelaki.

Pingat perak tunggal pula disumbangkan oleh Muhammad Asri Abdul Wahab yang berjaya mengumpul 9.50 mata bagi kategori Taijijian Lelaki.

Dalam pada itu, tiga pingat gangsa wushu pula masing-masing disumbangkan oleh Chew Sow Hong bagi kategori Nangun Lelaki dengan 9.46 mata, Lee hui Xian bagi kategori Nangun Wanita (9.25 mata) dan Stephanie Ngu Chai Ern untuk kategori Qian-gshu Wanita (9.51 mata).

Penolong Chef De-Mission bagi sukan wushu, Allen Wong Siew Poh begitu gembira dengan kejayaan yang dicapai oleh skuad wushu pada hari terakhir kejohanan sukan tersebut.

“Cukup gembira dengan kejayaan dipamer atlet pada hari terakhir saingan. Syabas dan tahniah kepada mereka atas kecemerlangan itu,” katanya ketika diminta mengulas.

Beliau turut memuji semangat juang dipamerkan atlet wushu sepanjang tiga hari acara wushu dilangsungkan.

Aksi final bagi sukan wushu menutup tirainya semalam.

Sementara itu di Ipoh, skuad judo tidak kurang hebatnya apabila berjaya menyumbang pingat gangsa buat kontinjen Sarawak dalam perlawanan yang berlangsung di Dewan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Krian, Kerian semalam.

Dalam saingan sengit itu, Voon Xue Zhi memastikan dirinya antara tersenarai penyumbang pingat selepas cemerlang dalam kategori 52kg wanita.

Kejayaan Xue Zhi ini sekali gus diharap menjadi detik kecemerlangan barisan atlet judo lain untuk turut sama menyumbang pingat selepas ini.

Dalam perkembangan lain, situasi mengecewakan menyelubungi dua pasukan iaitu futsal wanita dan hoki wanita.

Skuad hoki wanita gagal memperoleh mata penuh apabila tewas 1-0 kepada Pulau Pinang dalam aksi pertama Kumpulan C di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah semalam.

Ditambah pula dengan kekalahan 5-0 skuad futsal wanita di tangan Kedah pada aksi kedua mereka dalam Kumpulan A di Arena Tertutup Manjung pagi semalam.

  • oleh
  • Advertisement