Anda di sini

Sumber marin dilindungi

Advertisement
 Abang Johari melakukan simbolik perasmian Majlis Penyampaian Sistem Solar Berpusat Sarawak Energy di Taman Negara Talang Satang, semalam. Turut kelihatan Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom (tiga kiri) serta tetamu kehormat lain.
RASMI: Abang Johari melakukan simbolik perasmian Majlis Penyampaian Sistem Solar Berpusat Sarawak Energy di Taman Negara Talang Satang, semalam. Turut kelihatan Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom (tiga kiri) serta tetamu kehormat lain.

SEMATAN: Kerajaan negeri komited untuk mewartakan lebih banyak perairan Sarawak sebagai Kawasan Perlindungan Marin, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurut beliau, usaha itu selaras dengan Pelan Induk Pemuliharaan Pesisir dan Marin Sarawak yang diperkenalkan oleh bekas Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.

Justeru katanya, kerajaan baru-baru ini mewartakan Gugusan Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) yang terletak di Laut China Selatan di atas Pelantar Benua Sunda dalam Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia (EEZ) di perairan wilayah Sarawak sebagai taman negara marin terbesar di Malaysia.

Beliau menjelaskan, gugusan selatan Luconia yang terletak 163 hingga 180 kilometer (87 hingga 96 batu nautika) dari pantai Sarawak mempunyai ciri-ciri terumbu seperti Hempasan Bentin, Terumbu Balingian, Beting Merpati, Terumbu Sahap, Sierra Blanca dan Terumbu Saji.

Manakala, kawasan utara Luconia terletak di antara 187 dan 254 kilometer (100 hingga 136 batu nautika) dari pantai Sarawak mempunyai ciri-ciri terumbu seperti Beting Rentap, Hempasan Dang Ajar, Terumbu Permaisuri, Terumbu Lang Ngindang, Terumbu Asun, Terumbu Datuk Landih, Terumbu Linggir dan Terumbu Litong.

Terumbu-terumbu ini akan jelas kelihatan ketika air surut, katanya.

“Gugusan Beting Patinggi Ali ini sudahpun diwartakan sebagai taman negara marin yang terbesar di Malaysia, sekali gus menjadikan Sarawak sebagai pemilik sah bagi sumber marin di kawasan perairan tersebut,” ujarnya pada sidang media pada Majlis Penyerahan Sistem Solar Berpusat Sarawak Energy di Taman Negara Talang Satang dekat sini semalam.

Menurut Abang Johari, sumber minyak dan gas yang meluas juga terdapat di dasar laut dalam taman negara marin itu.

Sehubungan itu katanya, terdapat beberapa platform minyak dan gas PETRONAS terletak kurang 25 kilometer dari sempadan Gugusan Beting Patinggi Ali seperti F230-A (16.5 kilometer), F6Q-S (22 kilometer), MI-Q (14.6 kilometer) dan BIIP-A (17.6 kilometer) termasuk sebuah platform yang tidak diselia manusia F14DR-A.

Malah, sebuah kapal kargo British berusia 150 tahun dikenali sebagai Viscount Melbourne yang karam dijumpai di Gugusan Luconia Utara pada 2015 dan lokasi itu diisytiharkan sebagai salah sebuah tapak arkeologi maritim dalam perairan Malaysia oleh Jabatan Muzium Sarawak.

Sementara itu, mengenai Sistem Solar Berpusat Sarawak Energy di Taman Negara Talang Satang, Abang Johari menyifatkannya sebagai inisiatif terbaik dalam mempertingkatkan usaha pemuliharaan penyu di pulau tersebut.

Jelas beliau, dengan pemasangan sistem solar menggantikan penggunaan penjana kuasa diesel di taman negara terbabit, ia diyakini dapat menarik lebih banyak lagi penyu betina untuk bertelur.

“Apabila tempat ini menjadi tumpuan penyu untuk bertelur, ia secara tidak langsung menunjukkan kepada dunia bahawa kita memang memulihara penyu dan alam sekitar” katanya.

Namun demikian, katanya kemudahan penginapan di Taman Negara Talang Satang perlu dipertingkatkan lagi agar lebih selesa kepada pengunjung terutama pelancong asing.

  • oleh
  • Advertisement