Anda di sini

Lelaki curi pembesar suara dipenjara

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang mencuri dua buah pembesar suara dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini.

Majistret Cindy Mc Juce Balitus menjatuhkan hukuman itu terhadap Mokthar Ahmad, selepas mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Tertuduh melakukan kesalahan itu pada 8 Ogos jam 1.50 pagi di salah sebuah premis dalam bangunan pusat membeli belah Centre Point, di sini.

Atas kesalahan itu, Mokthar didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, yang memperuntukan hukuman penjara selama tempoh 10 tahun atau denda, atau kedua- duanya sekali.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa mencuri dua pembesar suara milik premis terbabit yang dianggarkan bernilai RM454.

Selain itu, tertuduh juga menghadapi satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati menggunakan dadah berbahaya jenis Methamphetamine dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada 6 September jam 7 petang di pejabat Jabatan Siasatan Narkotik Kota Kinabalu, di sini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan diambil terhadap tertuduh kerana laporan kimia belum diterima dari Jabatan Kimia.

Untuk itu, mahkamah menetapkan 17 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Raya Inspektor Albert Basirin, manakala, tertuduh diwakili peguam Shareen Tang dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

  • oleh
  • Advertisement