Anda di sini

Seorang lagi remaja Palestin maut

Advertisement
 Penduduk Palestin mengusung mayat Khafaja semasa majlis pengebumiannya di Rafah, selatan Semenanjung Gaza kelmarin. — Gambar AFP
DIRATAPI: Penduduk Palestin mengusung mayat Khafaja semasa majlis pengebumiannya di Rafah, selatan Semenanjung Gaza kelmarin. — Gambar AFP

KOTA GAZA: Seorang remaja Palestin mati akibat kecederaannya kelmarin sehari selepas ditembak anggota tentera Israel semasa menyertai satu bantahan di sempadan Gaza, menurut kementerian kesihatan di kawasan tersebut.

Ahmad Abu Tayoor, 17, ditembak pada lewat Jumaat di sempadan berhampiran dengan bandar selatan Rafah, menurut pihak kementerian lagi.

Pihak tentera Israel menembak mati seorang lagi rakyat Palestin berusia 17 tahun, Bilal Khafaja, pada Jumaat lepas dan mencederakan sekurang-kurangnya 45 lagi ketika ribuan penunjuk perasaan menghampiri sempadan Gaza dengan Israel di beberapa lokasi lain.

Pihak tentera menyatakan kelmarin bahawa ia telah membuka kertas siasatan mengenai keadaan yang menyelubungi kematian dua penunjuk perasaan muda itu.

Pihak tentera turut menyatakan ia telah menangkap empat rakyat Palestin kelmarin.

Mereka bersenjatakan pisau dan kapak serta cuba untuk memecah masuk melalui pagar keselamatan dari Gaza ke Israel, dakwa rejim dalam Twitter.

Pada Jumaat lepas, rakyat Palestin telah membakar tayar dan melontar koktel Molotov serta bom tangan ke arah anggota tentera Israel berhampiran, menurut pihak tentera.

Terdapat bantahan biasa di sepanjang sempadan sejak 30 Mac ketika pihak Palestin menuntut hak untuk kembali ke rumah mereka yang ditinggalkan atau dihalau semasa peperangan menyelubungi pembentukan Israel pada 1948.

Sekurang-kurangnya 175 orang Palestin maut di tangan tentera rejim di Gaza sejak itu.

Bagi tempoh yang sama, seorang tentera Israel telah ditembak mati oleh seorang penembak tepat Palestin.

Israel menuduh pemerintah Islam di Gaza Hamas sebagai memanipulasi bantahan dan cuba untuk menggunakan manusia sebagai perisai bagi melakukan serangan.

Pada minggu ini, ia menutup satu-satunya sempadan yang digunakan dengan Gaza selepas bantahan ganas merosakkan bangunan.

Israel menyatakan ia akan membuka semula laluan pada Khamis akan datang sekiranya situasi kembali tenang.

Gaza mengalami sekatan Israel selama lebih satu dekad dan Hamas telah berjuang dalam tiga peperangan dengan Israel sejak 2008.

Kira-kira 80 peratus daripada dua juta penduduk di kawasan bergantung kepada bantuan antarabangsa, menurut agensi PBB bagi pelarian Palestin UNRWA. — AFP

Advertisement