Anda di sini

Limus nafi taja calon lawan Presiden

Advertisement
LIMUS ketika berucap pada majlis itu.
LIMUS ketika berucap pada majlis itu.

KUALA PENYU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Penyu, Datuk Limus Jury menafikan dakwaan bahawa beliau kononnya menaja calon bagi merebut jawatan Presiden Upko pada pemilihan ini.

Beliau berkata, dakwaan tersebut adalah tidak benar dan hanya bertujuan untuk memecahkan semangat dan kekuatan parti.

Justeru Limus mengajak seluruh ahli parti agar tidak terpengaruh dengan fitnah berkenaan bagi memastikan parti terus utuh demi manfaat rakyat.

"Dakwaan yang mengatakan kononnya saya menaja calon untuk melawan Presiden parti, adalah suatu fitnah dan sangkaan tidak baik, yang sengaja direka-reka untuk memecahkan kekuatan parti kita.

"Saya berharap ahli-ahli Upko tidak terpedaya dengan dakwaan seperti itu, sebaliknya marilah kita bersama-sama mendokong perjuangan parti dengan tulus dan ikhlas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tritahunan Upko Parlimen Beaufort 2019 di Dewan Shahbandar Makang Kuala Penyu hari ini.

Dalam pada itu, Limus yang juga Ketua Bahagian Upko Beaufort menggesa ahli supaya terus mengukuhkan kesatuan dalam Upko.

Beliau berkata, berikutan perkembangan politik semasa, Upko perlu bersifat dinamik, selari dengan keperluan semasa.

"Sejarah penting untuk kita jadikan asas kepada perjuangan, namum strategi perlu diperkasa, iaitu bagaimana kita terus bertahan dalam pertempuran politik.

"Kita kena sediakan seorang jeneral sebagai ketua dan juga anggota yang ramai serta setia, senjata dan peralatan perang yang canggih dan berfungsi baik, bagi memperkukuhkan sistem pertahanan daripada sebarang ancaman.

"Oleh itu, pada mesyuarat ini Upko Bahagian Beaufort mengusulkan supaya jawatan Presiden parti kita tidak dipertandingkan. Sebaliknya, Pemangku Presiden kita diangkat dan disahkan sebagai Presiden, kerana kredibiliti dan kepimpinannya sudah pun teruji lagi terbukti merentasi zaman, " katanya.

Jelas Limus, usul berkenaan bukan bertujuan untuk menidakkan amalan demokrasi, tetapi demi memantapkan fokus dalam perjuangan parti.

"Dalam suasana politik baharu sekarang, kesepaduan dan permuafakatan dalam kalangan ahli amatlah penting sekali, " ujar Limus.

  • oleh
  • Advertisement