Anda di sini

Jangan berpecah belah dalam perebutan jawatan

Advertisement
 Anwar ketika menyampaikan ucapannya pada Majlis Makan Malam Bersama Ahli PKR Wilayah Tengah di Sibu, malam kelmarin.
AMANAT: Anwar ketika menyampaikan ucapannya pada Majlis Makan Malam Bersama Ahli PKR Wilayah Tengah di Sibu, malam kelmarin.

SIBU: Sebagai sebuah parti pemerintah (kerajaan) di peringkat persekutuan, ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) diingatkan supaya tidak berpecah belah dalam perebutan jawatan atau kuasa.

Justeru, Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan calon-calon yang menyertai pemilihan pimpinan tertinggi parti itu supaya bertanding secara sihat dan dalam satu keluarga besar demi memperkukuh dan menyelamatkan parti tersebut.

“Dulu kita sebagai parti pembangkang, sekarang kita sebagai sebuah parti kerajaan. Sudah tentu ada kuasa.

“Kita tidak mahu ahli-ahli menggunakan peluang ini untuk berebut kuasa atau berlaku pertelingkahan disebabkan masalah tersebut.

“Ahli-ahli harus ingat bagaimana kita menuntut keadilan selama ini dan bukan mudah untuk kita berada di tahap sekarang,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama PKR Wilayah Tengah di sebuah hotel terkemuka di sini, malam kelmarin.

Tema makan malam itu ‘Melangkah Ke Arah Kegemilangan Baharu Bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim’ dihadiri kira-kira 2,000 ahli parti dari kawasan wilayah tengah.

Turut hadir Naib Pengerusi PKR merangkap Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar, Pengerusi PKR Sarawak yang juga Menteri Kerja Raya Baru Bian, Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo, Ahli Parlimen Saratok Ali Biju, Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling, Ahli Parlimen Lanang Alice Lau, Ahli Parlimen Julau Larry Sng, bekas Ahli Parlimen Selangau Datuk Joseph Entulu Belaun, pengerusi pengelola George Chen serta ahli parti yang lain.

Pemilihan pimpinan tertinggi PKR dijadual 22 September hingga 28 Oktober tahun ini di seluruh negara akan menyaksikan pertandingan semua peringkat kecuali jawatan presiden yang menyaksikan Anwar memenangi jawatan tersebut tanpa bertanding pada bulan lalu.

Beliau menegaskan, tidak akan berkompromi dengan mana-mana calon yang didapati tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

Sehubungan itu, beliau juga mengingatkan calon-calon yang akan bertanding supaya jangan bersikap kasar, jangan bergaduh, jangan mencerca dan jangan memaki hamun semata-mata untuk memenangi pertandingan.

“Semua yang bertanding adalah Kumpulan Anwar. Pertandingan hendaklah (secara) sihat dalam keluarga besar.

“Kalau ada saya terima mana-mana laporan serius, saya tak peduli, kamu siapa (sama ada) kamu menang (atau) kamu kalah. Kita perlu selamatkan parti. Tiada kompromi,” tegasnya.

Anwar berkata, para perwakilan parti perlu memilih pemimpin terbaik daripada kalangan calon-calon yang telah disenaraikan bertanding.

Sehubungan itu katanya, beliau mengesahkan terdapat tiga kerusi Parlimen ditawarkan untuk beliau tandingi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) dalam tempoh terdekat bagi membolehkannya kembali ke Parlimen sebelum Oktober tahun ini.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan nama kerusi-kerusi Parlimen tersebut dan kerusi mana yang akan ditandingi belum lagi diputuskan.

Sementara itu Anwar berkata, ramai pemimpin luar negara bertanya, mengapa beliau sanggup bekerjasama dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah memasukkan beliau dalam penjara suatu ketika dahulu dan perkara sama diulangi semasa era pemerintahan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Memang saya susah, keluar masuk penjara. Tapi saya kata (beritahu para pemimpin luar negara), apa yang penting saya kata saya maafkan Dr Mahathir.

“Apa sebab kita beri laluan Dr Mahathir jadi Perdana Menteri dahulu, sebab saya sayangkan negara ini. Saya sokong penuh Dr Mahathir untuk tadbir negara ini dengan baik yang kini menanggung hutang banyak, rasuah berlaku di mana-mana. Sekarang kita bagi sokongan penuh.

“Bila masa saya sudah tiba besok (akan datang), Dr Mahathir bersara, saya akan minta sokongan tuan-tuan dan puan-puan (Pakatan Harapan Sarawak) bila saya ambil alih jawatan Perdana Menteri nanti. Ini penting sebab kita perlu kerajaan kuat dan stabil,” ujarnya.

Anwar berkata, beliau menerima banyak jemputan pemimpin luar negara untuk hadir ke negara mereka bagi mendengar sendiri perkembangan terkini di Malaysia kini di bawah pemerintahan kerajaan PH.

Bakal Perdana Menteri itu berkata, sokongan rakyat Sarawak dengan memberi kemenangan kepada calon-calon PH yang bertanding di Sarawak pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) baru-baru ini memberi gambaran jelas kebangkitan rakyat negeri ini yang mahu mengubah kerajaan.

“Ia berlaku kerana sokongan rakyat termasuk Sarawak, untuk kali pertamanya, rakyat daripada kalangan Iban, Melayu, Cina (dan lain-lain) bangkit untuk menyatakan ‘Enough Is Enough’ dan mengubah kerajaan. Sekarang sudah ada perubahan,” tegasnya.

Terdahulu, Baru yang juga Ahli Parlimen Selangau merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan berkata, sokongan rakyat Sarawak yang mahukan perubahan kerajaan telah membolehkan PH berjaya memenangi 10 daripada 30 kerusi Parlimen di Sarawak dan kini bertambah kepada 12 kerusi berikutan kemasukan calon Bebas (Larry dan Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang).

“Ini menunjukkan bahawa kita di Sarawak memang sudah bersedia untuk perubahan. Bagi kita di Sarawak ini permulaan bersejarah kerana pertama kali merasai kerajaan baharu sejak 61 tahun lalu. Sebelum ini Sarawak tidak pernah merasai pengalaman pertukaran kerajaan,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata PH Sarawak perlu memperkukuhkan kedudukan di Sarawak bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) kira-kira tiga tahun lagi dan ia adalah fokus utama sekarang.

  • oleh
  • Advertisement