Anda di sini

Beri pendidikan awal berkualiti kepada anak-anak

Advertisement
KANAK-KANAK membuat persembahan pada program itu.
KANAK-KANAK membuat persembahan pada program itu.

KOTA KINABALU: Kerajaan harus memastikan pendidikan awal yang berkualiti dan holistik dibekalkan kepada kanak-kanak sejak peringkat awal.

Timbalan Pengarah Yayasan Sabah Datuk Hajah Rosmawati Lasuki berkata, ia selaras dengan kajian para pakar pendidik bahawa pendidikan di peringkat awal kanak-kanak adalah satu peringkat paling kritikal kerana pada waktu itulah asas keperibadian seseorang insan ditanam dan dipupuk.

"Asas perkembangan seperti perkembangan intelek, sosial, kerohanian, kreativiti dan keyakinan diri seseorang insan mula dibina seawal kelahiran bayi sehingga umur enam tahun.

"Justeru, program hari ini begitu bermanfaat dan tepat kerana menyediakan satu wadah buat kanak-kanak memperkembangkan diri melalui pelbagai aktiviti yang mereka sertai," katanya ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Hari Potensi Tahun 2018 Bahagian Perkembangan Kanak-Kanak Kumpulan Yayasan Sabah, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, pihaknya berasa bangga kepada para ibu bapa dan guru-guru yang banyak berkorban dalam memastikan kanak-kanak mendapat pendidikan secukupnya di peringkat awal.

"Syabas juga buat ibu bapa yang membantu dalam menjayakan acara-acara sepanjang sambutan Hari Potensi ini. Sokongan anda menunjukkan keprihatinan dan pengorbanan demi masa depan anak-anak.

"Semoga pengorbanan kita terhadap masa depan anak-anak ini akan menjadikan mereka generasi yang patriotik, maju dan terpuji, seterusnya akan menjadi peneraju masa depan negara tercinta ini," katanya.

  • oleh
  • Advertisement