Anda di sini

Bomba selamat 33 mangsa banjir kilat

Advertisement
 

TAWAU: Seramai 33 mangsa termasuk lapan bayi yang terperangkap dalam rumah di Kampung Pasir Putih di sini akibat banjir kilat, berjaya diselamatkan pasukan bomba pagi kelmarin.

Ketua Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat Tawau Ismadi Ismail ketika dihubungi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang penduduk pada 7.36 pagi menerusi MERS999 yang memohon bantuan dipindahkan ke kawasan selamat.

Katanya mangsa yang terdiri daripada 14 dewasa, 11 kanak-kanak serta lapan bayi adalah antara penduduk kira-kira 100 rumah di Blok A dan Blok B Jaya Mawar di Kampung Pasir Putih yang terjejas banjir, dipindahkan ke kawasan selamat dan rumah saudara.

Beliau, bagaimanapun berkata setakat 11.04 pagi tadi, operasi di Kampung Pasir Putih ditamatkan dan penduduk diminta menunggu di rumah kerana banjir mulai surut.

Selain Kampung Pasir Putih, katanya kampung lain yang turut terjejas ialah Kampung Merotai Besar, Kampung Langsat, Kampung Pangkalan, Kampung Kijang, Kampung Iban dan Kampung Jagung serta Kampung Durian di sini.

Banjir kilat itu terjadi selepas hujan tidak berhenti sejak 11 malam tadi hingga kini, menyebabkan kawasan rendah ditenggelami air.-Bernama.

Advertisement