Anda di sini

Waktu operasi pusat hiburan dikaji

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah akan menilai dan mengkaji semula waktu operasi selain akan mengetatkan syarat-syarat bagi pemilikan lesen untuk pusat-pusat hiburan di ibu negara.

Timbalan Menteri Wilayah Datuk Dr Shahruddin Md Salleh berkata langkah itu adalah antara usaha bagi membanteras aktiviti haram seperti perjudian dan penyalahgunaan dadah yang banyak tertumpu di pusat-pusat tersebut.

“Usaha membanteras aktiviti haram itu termasuk di pusat siber, pusat judi haram, pusat hiburan dan pusat urut tanpa lesen,” katanya semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian berkenaan pada persidangan Dewan Negara di sini semalam.

Katanya, bagi membanteras aktiviti haram di pusat-pusat hiburan, kementerian juga akan meneruskan Operasi Bersepadu Banteras Aktiviti Haram (Ops BAH) yang dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan yang telah dilaksanakan sebelum ini.

Beliau berkata, operasi itu juga menumpukan kepada penyalahgunaan lesen perniagaan, kesalahan membabitkan pendatang asing tanpa izin dan kesalahan syariah.

Dalam pada itu, Shahruddin berkata baru-baru ini Ops BAH telah dijalankan ke atas sebuah premis hiburan yang terkenal dalam kalangan gay dan 20 lelaki Islam disiasat atas pelbagai kesalahan termasuk penyalahgunaan dadah.

Katanya, risikan kementerian juga mendapati terdapat enam lagi pusat hiburan menjadi tumpuan golongan itu yang beroperasi di ibu negara dan kini sedang dalam pemantauan. — Bernama

Advertisement