Anda di sini

Anak-anak pelarian perlu diberi layanan saksama: Tuanku Zara

Advertisement
 Tuanku Zara (tiga, kiri) mendengar penerangan Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia Prof Muhammad Yazid Jalaludin (kanan) ketika melawat ruang pameran sempena Majlis Sambutan 40 Tahun Kongres Pediatrik Malaysia di Pusat Konvensyen Ipoh, semalam. — Gambar Bernama
PENERANGAN: Tuanku Zara (tiga, kiri) mendengar penerangan Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia Prof Muhammad Yazid Jalaludin (kanan) ketika melawat ruang pameran sempena Majlis Sambutan 40 Tahun Kongres Pediatrik Malaysia di Pusat Konvensyen Ipoh, semalam. — Gambar Bernama

IPOH: Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim bertitah anak-anak daripada keluarga pelarian perlu diberi layanan adil dan saksama sama seperti layanan yang diperoleh kanak-kanak lain terutama dari segi peluang pendidikan dan kemudahan rawatan kesihatan.

Baginda bertitah anak-anak daripada keluarga pelarian tidak seharusnya menjadi mangsa dan menanggung penderitaan disebabkan perbuatan yang bukan dilakukan oleh mereka.

“Dunia sedang menyaksikan krisis orang pelarian secara besar-besaran dengan jutaan manusia terpaksa berpindah-randah, mencari perlindungan di tempat-tempat yang lebih selamat, berkhemah di sempadan-sempadan negara atau cuba menembusi sempadan negara-negara jiran.  

“Dan ketika ini, terdapat 150,000 orang pelarian dari Myanmar, Palestin, Syria, Yaman, Iran, Sri Lanka, Pakistan dan Afghanistan di negara ini.  25,000 orang atau 17 peratus daripada jumlah tersebut berada di bawah usia 18 tahun dan hanya 30 peratus daripada jumlah itu yang berusia di bawah 18 tahun, berpeluang mengikuti pelajaran di pusat-pusat pembelajaran komuniti,” titah baginda.

Tuanku Zara bertitah demikian ketika berucap merasmikan Kongres ke-40 Persatuan Pediatrik Malaysia, yang berlangsung selama empat hari bermula kelmarin, di Pusat Konvensyen Ipoh, di sini, semalam.

Tuanku Zara bertitah masalah yang dihadapi oleh masyarakat pelarian, tidak boleh dinafikan kewujudannya tetapi perlu diterima hakikatnya, lalu difikirkan pendekatan secara holistik dan bersepadu antara negara, pertubuhan antarabangsa, pelbagai agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan.

“Tidak memadai jika sesebuah negara mempamerkan obligasi sifat kemanusiaan sekadar memberikan kebenaran kepada orang-orang pelarian menumpang berteduh di bumi mereka.  

“Sifat kemanusiaan itu hendaklah disusuli dengan tanggungjawab bersama yang disokong oleh masyarakat yang memperlihatkan semangat belas ihsan, membenarkan, lalu membantu mereka membina hidup baharu secara bermaruah lagi terhormat, seperti dipamerkan kaum Ansar Madinah menerima penghijrahan kaum Muhajirin Makkah semasa peristiwa Hijrah, pada 1,439 tahun yang lalu,” titah baginda.

Tuanku Zara bertitah penambahbaikan perlu diterokai bagi menyediakan sokongan lebih bermakna kepada anak-anak yang terpinggir dengan mengkaji dan dijadikan rujukan perkhidmatan yang berupaya disediakan di negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) serta negara yang memiliki Indeks Pembangunan Insan yang tinggi.

Dalam pada itu, Tuanku Zara bertitah, masih wujud tompok-tompok kemiskinan di dalam negara ini walaupun pelbagai usaha telah, sedang dan terus dirintis untuk membasmi kemiskinan terutama membabitkan masyarakat orang asal serta masyarakat miskin bandar.

“Nasib masyarakat orang asal menjadi lebih traumatik disebabkan kegiatan membalak yang berlebihan, lebih-lebih lagi pembalakan secara haram, begitu juga kesan daripada projek pembangunan ladang dan prasarana yang telah menjejaskan kawasan asal tempat tinggal yang mereka warisi turun temurun.  

“Begitu juga anggota masyarakat yang berada dalam kategori pendapatan 40 peratus terbawah (B40). Dibimbangkan, mereka akan terus menghadapi tekanan hidup, dan akan tergolong dalam kategori terpinggir, sekiranya rancangan membasmi kemiskinan yang lebih berfokus kepada kumpulan ini, tidak segera dilaksanakan, untuk membolehkan mereka berada atas paras kemiskinan,” titah baginda. — Bernama

Advertisement