Anda di sini

Terus kurangkan kemalangan di tempat kerja

Advertisement

BINTULU: Semua agensi dan jabatan kerajaan termasuk swasta digesa terus memainkan peranan ke arah menurunkan kadar kemalangan di tempat kerja, melihat kepada pencapaian Sarawak yang menunjukkan penurunan dalam kadar kemalangan perusahaan dan kemalangan perjalanan pada tahun lepas.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye berkata, keseluruhannya jumlah kemalangan di tempat kerja di Sarawak pada 2017 menunjukkan penurunan iaitu sebanyak 2,374 kes kemalangan perusahaan dan 799 kes kemalangan perjalanan.

Katanya, berbanding 2016 ia dengan jelasnya menunjukkan kemalangan perusahaan menurun 16 peratus dan kemalangan perjalanan 15.7 peratus.

“Dengan perangkaan yang diberikan itu, secara keseluruhannya usaha-usaha diambil setakat ini untuk mempertingkatkan kesedaran dalam kalangan tenaga kerja di Sarawak menunjukkan penambahbaikan serta memanfaatkan pekerja di Sarawak.

“Amalan kesihatan dan keselamatan pekerjaan yang baik seharusnya menjadi budaya berkekalan di tempat kerja dan bukan sekadar keutamaan yang berubah mengikut keadaan,” ujarnya pada sidang media sempena Seminar ‘Managing OSH Challenges In Malaysia’ anjuran NIOSH Wilayah Sarawak dan 3M Malaysia Sdn Bhd di Dewan Kuliah Utama ADTEC Bintulu semalam.

 Lee bersama Anizan, Ethan (kanan) serta para peserta seminar diberi penerangan oleh seorang penceramah jemputan tentang cara-cara menggunakan peralatan keselamatan semasa melakukan kerja di tempat tinggi.
TIMBA ILMU: Lee bersama Anizan, Ethan (kanan) serta para peserta seminar diberi penerangan oleh seorang penceramah jemputan tentang cara-cara menggunakan peralatan keselamatan semasa melakukan kerja di tempat tinggi.

Turut hadir Ketua Hal Ehwal Kerajaan dan Pemasaran 3M Malaysia Sdn Bhd Khairul Azhar Abdul Karim, Pengurus NIOSH Wilayah Sarawak Mohamad Anizan Mohammed Amin, Pengarah Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Bintulu Nasaruddin Mohammad, Pengarah Institut Kemahiran MARA (IKM) Bintulu Dr Mohd Nawawi Omar dan Pengurus Jualan Pangkalan Bintulu Operasi Malaysia Timur 3M Malaysia Sdn Bhd Ethan Tan.

Statistik interim Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) katanya, jumlah kemalangan yang dilaporkan pada 2017 meningkat lima peratus iaitu 69,980 kes berbanding 66,618 kes 2016 di peringkat nasional.

“Sebanyak 924 kes maut merangkumi 257 kes kemalangan perusahaan dan 667 kes kemalangan perjalanan dilaporkan berlaku pada tahun 2017.

“Statistik tersebut menunjukkan terdapat kenaikan 6.4 peratus dalam bilangan kemalangan perjalanan berulang-alik ke tempat kerja pada 2017 berbanding 2016 di negara ini,” jelasnya.

Lebih membimbangkan, 20.46 peratus kenaikan dicatatkan dalam tempoh lima tahun (2013 sehingga 2017) yang pada masa sama kemalangan perusahaan turut meningkat sebanyak 3.84 peratus kepada 36,661 kes tahun lepas berbanding 35,304 kes pada tahun 2016.

Tempoh lima tahun (2013 hingga 2016) menyaksikan kemalangan industri meningkat sebanyak 2.12 peratus.

Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 menyatakan bahawa adalah menjadi kewajipan setiap majikan dan setiap orang yang bekerja sendiri untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerjanya diberi penekanan.

Justeru katanya, NIOSH Wilayah Sarawak bersedia menganjurkan lebih banyak program yang dapat memberi manfaat kepada warga kerja di Sarawak dan saya berharap seminar seperti ini bukan sahaja dapat memberi 10 mata Program Pendidikan Berterusan (CEP) tetapi ia juga satu usaha gigih NIOSH Wilayah Sarawak ke arah membantu mengurangkan kadar kemalangan di tempat kerja dan dalam perjalanan.

Mengenai isu mental yang ada kaitannya dengan tempat kerja beliau percaya ada keperluan untuk setiap institusi latihan keselamatan memasukkan pendidikan mental dalam kursus latihan supaya memberi manfaat kepada para pekerja dan mempunyai mental yang baik dalam menjalankan kerja dengan baik dan membantu meminimumkan kemalangan di tempat kerja.

“NIOSH bercadang memperkenalkan program itu pada tahun ini iaitu kesedaran kesihatan, sihat keseluruhan dengan input daripada Kementerian Kesihatan dan program ini akan dipasarkan kepada pelanggan kami dan industri supaya pada masa depan NIOSH dapat menganjurkan program itu untuk pekerja,” jelasnya.

Dengan penyertaan 250 peserta dari Sarawak dan Sabah katanya, seminar itu memberi ilmu pengetahuan berkaitan kesedaran dan latihan mengenai dua jenis pekerjaan yang dianggap penting iaitu dalam ruang terkurung dan kerja di tempat tinggi.

“Seminar ‘Back To Back’ dengan menjemput penceramah luar negeri untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai aspek-aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang terkini dalam dua perkara tersebut serta selaras dengan penubuhan NIOSH untuk menyebarkan maklumat kepada warga kerja di negara ini mengenai pekerjaan selamat dan sihat,” katanya.

Tambahnya, ini dianggap lebih penting memandangkan statistik kemalangan di tempat kerja menunjukkan tahun kebelakangan ini kemalangan bukan sahaja masih berterusan tetapi mencatatkan peningkatan.

Beliau berterima kasih kepada 3M yang membantu mempromosi kesihatan dan keselamatan pekerjaan di negara ini dan NIOSH sentiasa sedia untuk bekerjasama dengan mana-mana organisasi yang dapat membantu usaha NIOSH menyebarkan maklumat kepada pekerja berkaitan kesihatan dan keselamatan pekerjaan.

“3M dan NIOSH juga akan terus berbincang mengenai beberapa perkara yang dapat kami pertingkatkan supaya dapat saling melengkapi bagi manfaat pekerja dalam mempromosikan kesihatan dan keselamatan pekerjaan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement