Anda di sini

SUKMA XIX: Sarawak membariskan beberapa muka baharu acara renang

Advertisement
 Dieung (empat kanan) bersama perenang Sarawak bakal bertanding pada temasya SUKMA XIX Perak berlangsung dari 11 hingga 22 September ini.
MEMBURU PINGAT: Dieung (empat kanan) bersama perenang Sarawak bakal bertanding pada temasya SUKMA XIX Perak berlangsung dari 11 hingga 22 September ini.

KUCHING: Pasukan Sarawak bakal membariskan beberapa muka baharu dalam acara renang Sukan Malaysia ke-19 (SUKMA XIX) Perak pada 16 hingga 21 September di Pusat Akuatik Amanjaya, Ipoh, Perak.

Ketua jurulatih skuad renang Sarawak, Dieung Manggang memberitahu beberapa muka baharu itu akan berganding bahu dengan rakan sepasukan yang pernah bertanding pada SUKMA lalu.

“Sarawak turut kehilangan beberapa perenang senior yang terpaksa melepaskan peluang untuk bertanding pada SUKMA XIX kerana melanjutkan pelajaran ke luar negeri.

“Salah seorang daripada mereka ialah Erika Kong tidak bertanding disebabkan oleh had umur, namun perenang senior mewakili Sarawak SUKMA tahun ini ialah Angela Chieng yang juga berlatih dengan skuad kebangsaan di Bukit Jalil dan Kilian Ung Shihuang dari Sibu, Cindy Sui dan Leong Wan Mei,” katanya di sini semalam.

Sarawak juga diwakili pasangan adik-beradik Hii Puong Wei dan Hii Puong Hou yang dipilih atas kecemerlangan mereka pada beberapa kejohanan renang tempatan dan kebangsaan sebelum ini.

Wei dijangka menjadi ayam tambatan Sarawak dalam acara renang SUKMA XIX berdasarkan pencapaiannya pada kejohanan kebangsaan termasuk Kejohanan Renang Jemputan Milo/PRAM ke-54 tahun ini.

Beliau merupakan pelajar tingkatan tiga, SMK Batu Lintang dan pernah memenangi pingat emas dalam acara lelaki berumur 13-14 tahun 100m gaya bebas, 200m kuak dada, 200m individu medley, 100m kuak lentang, 400m individu medley dan 200m kuak lentang.

Penolong Chef-de-Mission (ACDM) bagi acara renang kontinjen SUKMA XIX Sarawak ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep. Sementara pengurus pasukan, Sabrina Yusuf dan jurulatih kedua, Raymond Chang.

Skuad renang Sarawak diwakili Hii Puong Hou, Zachary Adam Tan, Job Tan Xi, Kilian Ung Shihuang, Ayrton Lim, Hii Puong Wei, Patrick Lau, Cindy Sui, Leong Wan Mei, Angela Chieng, Kristen Chong, Adam Tan dan Natasha Teo Qi.

Advertisement